Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Empat peratus daripada 6,048 individu yang ditahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas sehingga semalam merupakan golongan remaja di bawah umur 18 tahun.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador meminta ibu bapa mengawasi setiap gerak-geri anak-anak mereka dan tidak membenarkan mereka keluar rumah.

“Saya ingin tegaskan kepada pengingkar-pengingkar tegar PKP yang merasakan dirinya ‘macho’ boleh melepak sesuka hati supaya memikirkan hukuman yang bakal mereka hadapi.

“Ingat kami bukan suka-suka hendak tangkap orang...oleh itu, patuhilah PKP ini dan duduk di rumah,” katanya pada sidang media khas, di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Hamid ketika ditanya jika ada penagih dadah menunjukkan simptom Covid-19, beliau berkata mereka diminta tampil untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Ketika ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) tidak membuat operasi berskala besar kecuali menerima maklumat mengenai aktiviti tokan serta pengedar dadah.

“Oleh itu, individu yang pernah mengambil dadah tidak perlu takut untuk tampil melakukan proses saringan Covid-19 kerana apa yang lebih penting adalah nyawa dan kesannya jika ia menjangkiti orang lain,” katanya.

Menjawab dakwaan mengatakan anggota polis tidak memeriksa setiap kereta di sekatan jalan raya, Abdul Hamid berkata: “Kami bukan tidak memeriksa setiap kereta yang melalui sekatan jalan raya, ia bergantung kepada budi bicara polis itu.

“Sebagai contoh, jika pemandu itu memandu secara individu, sudah tentu polis yang bertugas tidak menahannya sebaliknya membenarkan pemandu itu melalui seperti biasa, selain mengambil pendekatan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS