Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Perak umum lantikan portfolio exco negeri
Diterbitkan:  Apr 7, 2020 12:11 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Selepas seminggu dilantik sebagai exco kerajaan negeri, lapan ahli dewan undangan negeri (Adun) Perak dilantik memegang portfolio masing-masing termasuk Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Dalam pengumuman di Ipoh, hari ini, Ahmad Faizal dilantik sebagai exco kewangan, keselamatan, tanah, sumber asli, perancangan ekonomi, GLC dan integrasi nasional dan memangku portfolio kesihatan.

Bagi jawatan exco pembangunan luar bandar, pembangunan usahawan, koperasi dan hal ehwal pengguna disandang oleh Pengerusi BN Perak, Saarani Mohamad.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang juga Adun Gunong Semanggol bertanggungjawab terhadap portfolio pendidikan, pembangunan modal insan, NGO dan masyarakat sivil.

Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohamed Radzi pula dilantik sebagai exco perumahan, kerajaan tempatan, pengangkutan awam dan pelancongan.

Exco industri, pelaburan dan pembangunan koridor digalas oleh Adun Rungkup, Shahrul Zaman Yahya selain memangku portfolio belia dan sukan.

Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamahri pula dilantika sebagai exco pertanian, infrastruktur, tenaga dan air.

Bagi exco Agama Islam dan penerangan disandang Mohd Akmal Kamarudin sekali gus memangku portfolio sains, alam sekitar dan teknologi hijau.

Jawatan terakhir yang diumumkan ialah exco pembangunan wanita, keluarga dan kebajikan masyarakat digalas Dr Norashikin Wan Noordin.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, beliau percaya pasukan yang dibentuk itu mampu bekerja kuat untuk menggalas cabaran-cabaran yang sedang dihadapi.

Namun katanya, pasukan ini juga memerlukan kerjasama, sokongan dan doa seluruh rakyat Perak dalam mengharungi gelora ekonomi kesan daripada penularan wabak Covid-19.

Sebagai rekod, pada 13 Mac lalu, Ahmad Faizal mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar Perak ke-13 di hadapan Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Pada 10 Mac, Sultan Nazrin telah memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak ke-12.

Sehari sebelum itu, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional (PN) Perak terdiri daripada BN yang semuanya Umno, PAS dan Bersatu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat sokongan 32 daripada 59 ADUN.

Komposisi terkini DUN Perak terdiri daripada BN (25); DAP (16); Amanah (lima); Bersatu (empat); dan masing-masing tiga daripada PKR, PAS dan Bebas.

Lihat Komen
ADS