Dua rakan jahit baju PPE untuk petugas barisan hadapan
Biarpun tidak berkemampuan menghulurkan bantuan dari segi kewangan, dua rakan karib Nur Fadzila Wahab, 31, dan Norsyuhada Ya’acub, 36, tetap berusaha untuk menyumbang dengan membantu menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan di hospital dan klinik.
Nur Fadzila berkata sejak awal bulan lepas, dia dan Norsyuhada terpanggil untuk membantu petugas barisan hadapan selepas melihat perkongsian di laman sosial bahawa keperluan PPE untuk petugas tidak mencukupi sehingga ada yang terpaksa menjahit PPE mereka sendiri untuk menjalankan tugas memerangi Covid-19.
Katanya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, dia hanya menjalankan perniagaan makanan secara kecil-kecilan manakala Norsyuhada pula menjalankan perniagaan spa bergerak di sekitar bandar ini.
“Namun, apabila kami berdua tidak dapat meneruskan perniagaan seperti sediakala dalam tempoh ini, kami terdetik untuk melakukan kerja amal untuk menjahit PPE bagi kegunaan petugas hospital.
Dengan adanya waktu yang terluang ini, ada baiknya kami menyumbang dari segi tenaga, kami terkesan melihat mereka (petugas) sanggup menggadaikan keselamatan diri mereka ketika bertugas akibat kekurangan kelengkapan ini,” katanya kepada Bernama di Kampung Telaga Batu di sini, hari ini.
Nur Fadzila berkata, bekalan bahan untuk menghasilkan PPE berkenaan diperoleh daripada badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Kelantan dan juga hasil sumbangan daripada doktor persendirian.
Katanya, setiap hari dia dan Norsyuhada mampu memotong 1,200 meter material bagi menghasilkan hampir 200 PPE setiap hari.
“Selain mempunyai asas menjahit sebelum ini, saya turut mendapat tunjuk ajar daripada sukarelawan PAPISMA pada peringkat permulaan.
Namun, untuk menjahit PPE ini ia tidaklah sesukar seperti menjahit pakaian lain, malah jika seseorang hanya mempunyai asas jahitan pun ia sudah memadai,” katanya.
Nur Fadzila berkata mereka akan mula menjahit di rumah sendiri bermula pukul 9 pagi sebelum berhenti menyiapkannya apabila sudah mencapai sasaran atau material yang diperoleh sudah siap dijahit pada hari berkenaan.
“Pihak berkenaan (PAPISMA atau doktor persendirian) akan datang mengambil PPE yang telah siap dijahit di rumah, sebelum diagihkan kepada fasiliti kesihatan di sekitar negeri ini.
Kami amat berbesar hati dapat membantu petugas barisan hadapan di fasiliti kesihatan dengan menyumbang tenaga untuk menghasilkan PPE ini, sedikit sebanyak ia diharap dapat meringankan beban mereka sekali gus dapat membantu sebagai perlindungan ketika mereka bertugas,” katanya.
-Bernama

