Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$101.7 bilion (AS$1=RM4.34) setakat 31 Mac, 2020.

“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.7 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Rizab antarabangsa berjumlah AS$103 bilion sehingga 13 Mac, 2020.

BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa (setakat 31 Mac,2020) terdiri daripada rizab mata wang asing sebanyak AS$95.3 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.1 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$2.0 bilion), dan aset rizab lain (AS$2.2 bilion).

Katanya aset termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab lain, termasuk SDR, yang berjumlah RM440.12 bilion, Kertas Kerajaan Malaysia (RM2.69 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM6.83 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset lain (RM20.79 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM160.96 bilion), mata wang dalam edaran (RM116.39 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM151.45 bilion), deposit Kerajaan Persekutuan (RM8.71 bilion), deposit lain (RM2.66 bilion), Kertas Bank Negara (RM22.87 bilion), peruntukan SDR (RM7.87 bilion), dan liabiliti lain (RM3.59 bilion).

- Bernama