KORONAVIRUS | Akibat berpesta liar di sebuah rumah dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), sembilan individu - termasuk dua remaja - dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini.

Kamaruddin Yusuf, 19; Muhd Usman Jamal, 23; Asri Basri, 26; Amir Kahar Diari, 29; Nuramira Sikin Rommel, 21; Norazlin Endarwati Surtoyol, 20; Fendi Sandana, 18, dan seorang remaja lelaki serta seorang remaja perempuan berumur 17 tahun, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan.

Kesemua tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu dengan berkumpul untuk melakukan aktiviti sosial di sebuah rumah di Jalan Harmoni, Kampung Tass, jam 8.12 malam pada 4 April lalu.

Mahkamah memerintahkan lima tertuduh lelaki menjalani hukuman penjara empat bulan, manakala dua tertuduh wanita dipenjara dua bulan.

Hakim juga dan mengarahkan tertuduh yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dirujuk kepada jabatan imigresen selepas menjalani hukuman.

Bagi dua remaja bawah umur itu pula, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 15 Mei bagi menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Berdasarkan fakta kes, polis menahan mereka selepas menerima maklumat berkenaan bunyi bising dari sebuah rumah. Semasa tangkapan, kesemua tertuduh berkumpul di rumah berkenaan dan sedang melakukan aktiviti sosial.

Lari dari kereta

Sementara itu dalam kes berasingan, mahkamah sama menjatuhkan hukuman kepada empat lelaki termasuk dua adik-beradik selepas mereka mengaku bersalah mengingkari arahan PKP.

Pasangan adik-beradik Jimmy Juma, 31, dan abangnya Ajil Juma, 33, ditahan antara jam 2.14 petang hingga 2.30 petang, kerana menjual rokok seludup di tepi jalan Kampung Titingan, Jalan Damai.

Kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman penjara empat hari serta denda RM1,000. Jika gagal membayar denda tersebut mereka akan dikenakan penjara dua bulan.

Seorang lagi lelaki, Akhbar Arifin, 24, didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah melanggar PKP dengan bergerak ke satu kawasan ke kawasan lain pada jam 1.15 pagi 6 April lalu.

Munir Abd Raji, 42, pula dihukum penjara tiga bulan, kerana melakukan kesalahan sama pada 3.30 petang 1 April.

Mengikut fakta kes, polis menahan sebuah kereta dinaiki dua lelaki sebelum kedua-duanya bertindak melarikan diri, namun tertuduh (Munir) berjaya ditahan, dan pemeriksaan ke atas kereta tersebut menemukan 2,200 kotak jenama premium dipercayai diseludup.

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran bersama pegawai pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, ASP Dayang Nur Azrinawaty Ag Kachee.

- Bernama