Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penghuni Selangor Mansion, Malayan Mansion mungkin dipindah
Diterbitkan:  Apr 7, 2020 11:29 PM
Dikemaskini: 3:29 PM

KORONAVIRUS | Kerajaan mungkin menempatkan semula penghuni bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion ke stesen kuarantin ekoran keadaan di situ yang terlalu sesak.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, berkata pihaknya akan mempertimbangkan kemungkinan itu dan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian.

Menurut beliau di situ ada penghuni yang tinggal di sesebuah rumah mengikut syif, iaitu masing-masing pada waktu siang dan malam.

"Apabila kita laksanakan PKPD (perintah kawalan pergerakan diperketatkan) maka ada antara 20 hingga 30 orang duduk dalam satu rumah pada waktu sama," katanya seperti dipetik Astro Awani hari ini.

Dalam keadaan demikian, kata ahli parlimen Ketereh itu, ia boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.

Terdahulu kerajaan mengisytiharkan bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion diletakkan di bawah PKPD apabila terdapat 15 kes positif Covid-19 di situ.

Sesuatu kawasan yang dikenakan PKPD akan dikawal oleh anggota polis dan tentera, manakala penduduknya tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing.

Orang luar juga dilarang memasuki kawasan terbabit.

Menurut anggaran awal, ada kira-kira 6,000 orang penghuni di kedua-dua bangunan tersebut, tetapi Annuar mendakwa jumlah sebenar ialah hampir 7,000 orang.

KKM menjangkakan mereka perlu kira-kira 10 hari untuk melengkapkan pemeriksaan dan proses nyah kumah di kedua-dua bangunan tersebut.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini mengenai wabak Covid-19 di negara ini melalui penjejak disediakan secara percuma oleh Malaysiakini di sini

Lihat Komen
ADS