Lantikan politik adalah antara pihak yang akan menerima bantuan one-off daripada kerajaan Kelantan, selain penjawat awam serta petugas barisan hadapan menghadapi Covid-19 sekarang.

Menteri Besar, Ahmad Yakob, berkata bantuan kewangan itu melibatkan sumbangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam, manakala lantikan politik menerima RM250.

Selain itu katanya, petugas barisan hadapan Covid-19 di bawah kerajaan negeri pula menerima sumbangan sebanyak RM300.

"Petugas barisan hadapan kerajaan negeri termasuklah penguat kuasa PBT (pihak berkuasa tempatan), penghulu, penggawa, buruh di Pejabat Tanah dan Jajahan.

"Bantuan berkenaan akan diberikan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di kediaman rasmi menteri besar di JKR 10, Kota Bharu, hari ini.

Ahmad berkata, kerajaan negeri memperuntukan RM29 juta bagi dana berkenaan sekali gus berharap ia dapat membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Sementara itu kata Ahmad, kerajaan negeri juga mengecualikan bayaran sewa premis-premis PBT dan badan berkanun bagi tempoh dua bulan bermula bulan ini.

"Bayaran sewa berkenaan akan ditanggung oleh kerajaan negeri, kita akan bayar sewa bagi pihak penyewa kepada pemilik premis yang terlibat.

"Ia melibatkan premis seperti milik majlis daerah, PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan), PKINK (Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan seumpamanya," katanya yang anggota dewan undangan negeri (Adun) Pasir Pekan.