Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kompaun sebanyak RM1,000 akan mula dikenakan terhadap individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pesalah PKP diberi masa dua minggu untuk menjelaskan kompaun berkenaan, jika gagal akan dihadapkan ke mahkamah.

"Bagi Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), kita telah terima prosedur operasi standard (SOP) bagaimana nak laksanakan kompaun terhadap persalah PKP.

"Ia akan digunakan terhadap mereka yang ingkar (arahan) dalam tempoh PKP dilaksana.

"Kompaun sebanyak RM1000, tiada rayuan. Kalau tak bayar bererti boleh mohon untuk dibicarakan di mahkamah," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Acryl Sani Abdullah Sani

Bayaran kompaun hendaklah dibuat di pejabat Kementerian Kesihatan (KKM).

Acryl Sani berkata, kompaun yang dikenakan terhadap pesalah dapat mengatasi masalah kesesakan di penjara.

Pada 5 April lalu Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menggesa para hakim untuk mengambil kira isu kesesakan penjara ketika menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang ingkar PKP.

Ia selepas Jabatan Penjara meminta mahkamah tidak memenjara pelaku kesalahan itu memandangkan kesesakan di penjara menyukarkan usaha melakukan penjarakan sosial.

Justeru, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah memaklumkan kepada semua pegawai kehakiman untuk menimbang kesan akibat kesesakan penjara seperti yang dinyatakan Tengku Maimun.

"Di samping mengambil kira peruntukan hukuman berdasarkan undang-undang sedia ada, masalah berkenaan risiko penularan wabak Covid-19 yang bakal dihadapi penjara di Malaysia boleh juga diambil pertimbangan dalam menjatuhkan hukuman bagi kesalahan pelanggaran PKP," kata pejabat itu dalam kenyataan.

Dengan penguatkuasaan PKP, orang ramai tidak dibenarkan berada di luar rumah untuk urusan tidak penting.

Mereka yang melanggar perintah itu boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun pesalah juga boleh dikenakan pendakwaan lain seperti menghalang pegawai awam menjalankan tugas, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Acryl Sani, berkata kadar kompaun sama tetap dikenakan terhadap individu yang melakukan kesalahan PKP berulang.

Dalam itu beliau berkata, kadar jenayah dalam tempoh PKP bermula 18 Mac sehingga semalam telah berlaku penurunan sebanyak 67 peratus.

Jelasnya, daripada purata 350 kes jenayah indeks sehari kini menurun kepada 116 kes jenayah indeks sehari.

Sementara itu katanya, polis juga turut mempertingkatkan lagi rondaan kawasan perumahan bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan PKP.

"(Rondaan polis ) mendapati ada individu masih lagi joging, jadi kita tahan.

"Kita arahkan semua penduduk tak ada kaitan perkhidmatan penting perlu duduk diam-diam di rumah, tak perlu bergerak tanpa sebab," katanya.

Lihat Komen
ADS