mk-logo
Berita
Robot 'Makcik Kiah 19' bantu petugas di hospital tangani Covid-19

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama-sama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF) telah membangunkan Sistem Robot Penghantaran Hospital, sebagai usaha membantu petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan menangani wabak Covid-19.

Robot itu yang diberi nama “Makcik Kiah 19” (MCK19) adalah Robot Penghantaran Pertama Buatan Malaysia untuk hospital bagi membantu petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan dalam memberikan khidmat kepada pesakit Covid-19.

Menurut UTM dalam kenyataan hari ini, projek itu dimulakan pada permulaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diketuai pengasas bersama DF, Prof Madya Dr Yeong Che Fai daripada Kajian Kejuruteraan Elektrikal, UTM.

“MCK19 menggunakan Zalpha, robot komersial DF yang berupaya menampung berat sehingga 300kg atas raknya dan mampu melakukan navigasi secara automatik untuk membantu doktor dan jururawat dalam menghantar makanan dan ubat-ubatan ke bilik pesakit.

“Penggunaan robot ini iaitu MCK19 akan mengurangkan pendedahan profesional dan petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan kepada pesakit dalam pemantauan (PUI) yang berisiko tinggi dijangkiti dan perlu diasingkan.

“Sehubungan itu, ia juga akan mengurangkan keperluan kepada PPE (Alat Pelindung Diri) berikutan hospital-hospital di peringkat global kini mengalami kekurangan bekalan,” kata UTM.

UTM berkata projek itu mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan pasukan itu mengambil masa kurang daripada dua minggu untuk membangunkan prototaip.

“MCK19 djangka diuji di HCTM pada akhir minggu ini. Sekiranya robot ini didapati boleh digunakan, DF komited untuk mengeluarkan robot itu secara besar-besaran untuk dibekalkan ke hospital di Malaysia atau mana-mana organisasi yang memerlukannya.

“Untuk jangka panjang, pasukan itu merancang untuk mengeluarkan robot yang mempunyai rekaan yang lebih mirip manusia dan mesra manusia,” katanya.

Sementara itu, Yeong berkata DF menawarkan penyelesaian robotik kepada industri sejak 2012 dan percaya ia dapat membantu dalam menjalankan banyak tugas bagi mengurangkan kehadiran manusia seperti perkhidmatan penghantaran, disinfeksi, pembersihan, pemantauan dan perkhidmatan lain.

“MCK19 akan menjadi ujian perintis pertama kami, jika robot ini berfungsi dengan baik, kami akan teruskan dengan aplikasi lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Canselor Tuanku (HCTM), UKM, Prof Dr Hanafiah Harunarashid menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama itu.

Bagi pihak HCTM (UKM), saya berasa amat gembira dapat bekerjasama dengan MOSTI dan pasukan daripada UTM dan DF untuk membangunkan robot penghantaran hospital ini, yang pertama di Malaysia.

“Ini adalah buat julung kalinya akan digunakan khusus untuk membantu sistem penjagaan kesihatan yang terbeban semasa pandemik dan wabak ini. Saya menjangkakan robotik dan automasi akan memainkan peranan penting di hospital dalam waktu terdekat untuk meningkatkan sistem penyampaian penjagaan kesihatan,” katanya.

Naib Canselor UTM Prof Ir Dr Wahid Omar berkata penciptaan robot itu merupakan satu lagi usaha UTM untuk membantu memerangi virus itu, selaras dengan inisiatif universiti untuk menyejahterakan kehidupan.

- Bernama

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini