Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon, kru drama Demi dijangkiti Covid-19
Diterbitkan:  Apr 9, 2020 2:21 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Selepas Puteri Aishah dilaporkan positif Covid-19, pelakon kanak-kanak, Puteri Rayyana Rayqa, yang turut menjalani penggambaran drama Demi di Inverness di Scotland bersama aktres itu turut menerima nasib sama.

Turut positif wabak itu ialah ibu Puteri Rayyana - yang dikenali sebagai Syira - selepas dia menemani pelakon terbabit di sepanjang penggambaran di negara berkenaan.

Syira berkata, dia reda dengan apa yang menimpa dan yakin ia adalah ujian kerana Allah SWT menyayangi mereka.

“Saya dan Rayqa buat ujian pagi semalam di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya. Pagi tadi baru dapat panggilan yang kami positif Covid-19.

“Sekarang, kami sedang menunggu panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

“Saya tidak mengalami sebarang gejala, cuma Rayqa yang demam sejak di sana lagi. Sejujurnya, tak tahu nak cakap apa apabila dapat berita ini,” katanya dipetik Harian Metro.

Berkongsi kisah di Scotland, Syira berkata, sepanjang di sana pasukan produksi sering mengingatkan agar mereka menitikberatkan soal penjagaan kesihatan dan kebersihan.

Kini beransur pulih

“Di sana kami tinggal sekali dan sentiasa bersama-sama. Kami jaga kebersihan, setiap hari makan vitamin C dan saling mengingatkan soal keselamatan masing-masing.

“Apabila dapat tahu berita ada kru yang positif, pada mulanya takut juga. Tapi, saya berserah pada Allah. Kalau betul Allah nak bagi penyakit ini, kami reda,” katanya.

Menurutnya, apa yang penting sekarang, dia mahu dirinya dan anak kembali sihat selain berfikiran positif.

“Saya berharap masyarakat tidak memandang negatif dengan kami. Tidak minta pun perkara ini nak berlaku. Doakan kami semoga diberi kesembuhan,” katanya.

Rombongan seramai 18 orang termasuk beberapa pelakon berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu sebelum peningkatan kes Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Selain Puteri Aishah - pelakon utama drama itu - Puteri Rayyana dan Syira, turut positif wabak itu adalah pengarah, penolong pengarah, kakitangan bahagian pakaian dan solekan manakala seorang jurukamera kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Namun, keadaan seorang daripada mereka difahamkan beransur pulih walaupun masih berada dalam ICU.

Pelakon lain yang terbabit dalam drama terbitan Elisa Vision Sdn Bhd itu adalah Ashraf Muslim, Ben Amir dan Hasnul Rahmat.

Lihat Komen
ADS