Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafidah rasa 'meluat' ramai wanita berwibawa disingkir dari GLC
Diterbitkan:  Apr 9, 2020 4:29 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Bekas menteri kanan, Rafidah Aziz, hari ini tanpa berselindung menzahirkan rasa "meluat" beliau melihat tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggantikan pegawai-pegawai kanan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menyatakan pandangannya di Facebook hari ini, Rafidah mengecam keputusan PN menyingkirkan ramai "wanita berwibawa" daripada jawatan tertinggi GLC dan menganggapnya sebagai pramatang.

"Apa yang meluat ialah cara penyingkiran dan pelantikan (baru) dibuat.

"Penyingkiran, pemberhentian atau penggantian secara rawak individu berwibawa yang kebanyakannya masih dalam kontrak - buat masa ini - melibatkan wanita yang berdaya saing serta profesional [...]

"Dan (mereka) tidak dinilai berdasarkan prestasi mereka. Satu-satunya alasan yang diberikan ialah kerana mereka merupakan 'lantikan politik' kerajaan sebelumnya, justeru mereka mesti diganti "katanya tanpa menyebut sebarang nama.

Rafidah merupakan bekas ketua Wanita Umno dan pernah menjawat tugas sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Selepas bersara sekian lama, tokoh yang pernah digelar sebagai wanita besi itu muncul menjadi seorang daripada penyokong kuat Dr Mahathir Mohamad menjelang PRU ke-14 pada 2018.

Rafidah kemudian membangkitkan persoalan sama ada kekosongan jawatan dalam GLC itu akan diisi oleh orang yang berkepentingan kepada kerajaan PN.

"Kita mahukan 'orang kita sendiri' di sana mungkin supaya mereka boleh melakukan 'bidaan kami' terutama apabila anggaran dan kontrak berjuta-juta ringgit akan muncul?" katanya lagi.

Sejak beberapa hari lalu sejumlah tokoh kanan dalam GLC diumum ditamatkan perkhidmatannya atau diganti oleh kerajaan.

Ia berlaku kurang dari dua bulan selepas PN mengambil alih Putrajaya melalui Langkah Sheraton, dan ketika negara masih bergelut untuk mengatasi ancaman Covid-19.

Antara tokoh yang terbabit ialah Noripah Kamso (pengerusi Bank Rakyat), Hasnita Hashim (Mara), Farida Ariffin (Tabung Pembangunan Sumber Manusia) dan Mohd Bakke Mohd Salleh (Lembaga Minyak Sawit Malaysia).

Zakri Khir pula meletakkan jawatannya sebagai pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) manakala Dr Nungsari Ahmad Radzi pula melepaskan tugasnya sebagai pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS