Paling Popular
Terkini

KORONAVIRUS | "Tiba-tiba kami diberitahu tak boleh keluar rumah, tak boleh cari makan dan kami hilang punca pendapatan dengan mendadak," luah Monzur Alam Sultan Ahmad, 27, yang terjejas hidupnya kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan untuk membendung wabak Covid-19.

Warga Rohingya yang tinggal di Melor, Kota Bharu itu berkata, pada awal dia dan yang lain-lain mereka kurang mengerti mengenai arahan PKP, hinggalah hal itu dijelaskan oleh rakannya.

Bergantung hidup kepada kerjanya sebagai pemungut besi buruk, Monzur mengibaratkan hidupnya umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dalam keadaan terdesak seperti sekarang, dia hanya mengharap belas ihsan rakan-rakan dan penduduk setempat.

Monzur berkata selepas beberapa minggu tempoh PKP berlangsung, wang simpanannya kini habis sama sekali, manakala bekalan keperluan harian juga terbantut.

"Kami akur arahan (PKP), gudang beli besi buruk juga tutup. Tak leh buat gapo (tak boleh buat apa-apa)," katanya dengan loghat Kelantan.

Selain itu kata Monzur, dia juga menangis kerana ketiadaan duit untuk dibuat belanja. Jalan yang ada, katanya, hanya berdoa pada Allah mengharapkan ihsan Dia.

Tak bekerja macam biasa

"Adalah orang datang bagi beras, sembelih ayam kampung buat lauk dan kongsi dengan kawan-kawan di sini," katanya ketika ditemui Malaysiakini di rumah sewanya, hari ini.

Tambah Monzur, dia juga tidak mampu untuk membayar sewa rumah untuk bulan ini dan berharap pemilik kediaman itu memberi kelonggaran atau penangguhan bayaran.

"Sebelum PKP saya kutip dan beli besi buruk sekitar Kota Bharu dan Bachok untuk dijual semula, dapatlah dalam RM20 hingga RM40 sehari. Bergantung rezeki Allah," katanya yang tinggal di Kelantan sejak empat tahun lalu.

Monzur sebelum ini menjadikan besi buruk sebagai punca pendapatan

Pada masa sama Monzur mengakui ada menerima sedikit bantuan daripada rakan Rohingya yang memberikan mereka beras. Pun begitu, katanya, ia perlu digunakan secara berjimat.

Katanya, keutamaan untuk beras itu adalah seorang anak dan isterinya.

Bagi Mohamad Salim Amir Hussin, 37, masalah dihadapi kini ialah dia tidak dapat lagi mengirim wang kepada isterinya yang berada di Rakhine, Myanmar.

Selain kekangan pergerakan, PKP itu sendiri memaksa dia tidak dapat bekerja seperti biasa.

Mohamad Salim sedih tak dapat mengirim wang untuk anak dan isteri

"Sebelum ini saya boleh kirim wang untuk isteri dan anak-anak, kadang-kadang RM100, kadang-kadang RM200 sebulan. Ini yang menyedihkan saya... teringat anak-anak dan isteri di sana.

"Sekarang tak boleh cari makan langsung, besi buruk ada lagi tapi gudang tutup, tak boleh jual.

"Sewa rumah dan motosikal pun saya tak mampu bayar," katanya yang menyewa bersama seorang adik lelakinya di Kota Bharu sejak tujuh tahun lalu.

Upah bersawah, potong rumput

Untuk rekod, pekerjaan memungut atau membeli besi buruk sangat popular dalam kalangan warga Rohingya yang bermastautin di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Kebiasaannya mereka menyewa sebuah motosikal tiga roda daripada orang tempatan untuk mencari besi buruk sebelum dijual kepada gudang kitar semula bagi meraih pendapatan.

Selain itu ramai juga yang bekerja sebagai buruh binaan serta mengambil upah menanam padi.

Sementara itu Jumi Ahmad, 30, turut hilang mata pencarian sejak PKP dilaksanakan. Justeru dia terpaksa mencatu makanan serta wang yang didermakan penduduk setempat.

Jumi bernasib baik kerana dibantu jiran

Katanya, sejak bermastautin di Kelantan dua tahun lalu, dia banyak melakukan kerja-kerja kampung seperti bersawah, ambil upah mencuci rumah, memotong rumput dan seumpamanya.

"Sekarang memang tak boleh buat kerja, cuma saya bernasib baik kerana jiran-jiran orang kampung ada tolong.

"Mereka bagi duit dan barangan keperluan harian. Saya cukup berterima kasih dan sangat menghargainya. Alhamdulillah saya selesa tinggal di sini, masyarakat Kelantan baik dan rasa selamat," katanya yang tinggal di Pasir Mas.

Bagi Kunsumer Abdul Lakin, 25, dia mengambil inisiatif menanam sayur-sayuran di sekitar rumah dan dijual kepada penduduk kampung sebagai jalan menyara hidup.

Nik Catinal menyerahkan sumbangan kepada warga Rohingya

"Ada terima bantuan, orang kampung membantu. Mereka bagi beras dan keperluan lain, selain itu saya tanam sayur untuk dijual kepada orang di sini.

"Saya berharap Covid-19 ini berakhir secepat mungkin, keadaan ini sangat susah. Ramai orang terjejas," katanya.

Sementara itu Malaysiakini turut berkesempatan mendapatkan reaksi orang tempatan yang tampil membantu keluarga Rohingya sepanjang tempoh PKP ini.

Seorang peniaga, Nik Catinal Johari Ismail, 44, mengambil inisiatif bersama keluarga dan rakan-rakannya dengan mengumpul dana untuk disumbangkan kepada golongan tersebut.

Katanya, atas rasa simpati dan semangat persaudaraan sesama Islam dia menggerakan bantuan tersebut.

Kata Nik Catinal pendatang Rohingya itu memang patut dibantu

"Mereka ini golongan yang layak dan perlu dibantu, kebanyakan mereka tiada keluarga dan saudara-mara di sini.

"Dalam keadaan ini saya dan rakan-rakan ambil peluang untuk hulurkan bantuan seadanya.

"Insya-Allah semoga dengan bantuan kecil ini dapat memenuhi keperluan mereka. Begitu juga dengan penduduk tempatan yang terjejas, turut kita beri sumbangan," katanya yang menghulurkan bantuan kepada lebih 50 keluarga Rohingya di sekitar Kota Bharu.

Inisiatif sama juga diambil oleh Zaharah Hussein, 69, dan keluarga untuk membantu keluarga Rohingya.

"Saya dan anak-anak cuba membantu mereka sekadar yang termampu. Dalam keadaan ini kehidupan mereka agak terjejas. Orang kampung di sini juga pakat tolong, kasihan mereka tiada keluarga seperti orang lain.

"Kadang-kadang kami upah mereka buat kerja macam menebas, potong dahan pokok atau sebagainya. Kita sama-sama membantu ikut kemampuan," katanya yang tinggal di Kampung Lipan, Pasir Mas.

Lihat Komen
ADS