Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Palang Merah gesa bebaskan tahanan yang lemah di penjara
Diterbitkan:  Apr 10, 2020 3:33 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Delegasi Serantau Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) Kuala Lumpur meminta pihak berkuasa mempertimbangkan untuk membebaskan tahanan yang mempunyai tahap kesihatan yang lemah di penjara.

Badan itu menyokong pendapat bahawa hukuman penjara terhadap pelanggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) akan mendedahkan banduan lain dengan wabak berkenaan.

"Ini adalah respons kepada permintaan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar minggu lalu supaya hukuman penjara dihentikan ke atas mereka yang ditahan kerana kemasukan mereka ke penjara mungkin mencetuskan wabak Covid-19 di dalam penjara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani sebelum ini berkata kompaun sebanyak RM1,000 akan mula dikenakan terhadap individu yang melanggar PKP bermula 8 April dan jika gagal akan dihadapkan ke mahkamah.

"Ini adalah suatu penyelesaian yang baik dan sejajar dengan pendirian ICRC mengenai isu kesesakan di pusat tahanan dan risiko tambahan jangkitan kepada tahanan kerana keadaan di pusat tahanan," jelasnya.

Tambahnya, penghantaran lebih ramai individu ke penjara akan menyimpang dari tujuan asal PKP, iaitu untuk menghentikan penyebaran Covid-19.

Justeru katanya, mengurangkan mereka yang dipenjarakan akan dapat membantu mengelakkan risiko terjadinya penularan wabak Covid-19 di penjara.

"Satu contohnya adalah di negara jiran Indonesia, di mana pihak berkuasa membebaskan 22,000 penghuni penjara minggu lalu untuk mengurangkan risiko jangkitan dalam penjara.

"Kami berbesar hati apabila pihak berkuasa Malaysia amat proaktif dalam menangani Covid-19 setakat ini, dengan mengambil langkah seperti memeriksa suhu badan tahanan baru, pemeriksaan kesihatan untuk kakitangan penjara, kerja-kerja sanitasi dan menyediakan blok pengasingan dan pusat kuarantin, selain menghentikan lawatan dari luar,"jelasnya.

Tambahnya ICRC mendermakan alat pelindungan seperti topeng muka, sabun dan pencuci tangan untuk kakitangan dan tahanan di semua penjara, pusat tahanan Imigresen dan pusat tahanan sementara di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, adalah penting untuk membenarkan komunikasi antara banduan dan ahli keluarga mereka melalui cara lain berikutan lawatan tidak dibenarkan.

Lihat Komen
ADS