Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sektor ekonomi terpilih dibuka secara berperingkat
Diterbitkan:  Apr 10, 2020 4:26 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan bahawa beberapa sektor ekonomi terpilih akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh perintah kawalan pergerakan.

Muhyiddin memaklumkan perkara itu ketika mengumumkan pelanjutan PKP yang akan diteruskan sehingga 28 April.

"Kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

"Sebuah jawatankuasa khas kabinet yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kanan Pertahankan diwujudkan untuk meneliti senarai sektor-sektor ekonomi yang terpilih untuk dibuka secara berperingkat," katanya ketika menyampaikan perutusan khas hari ini.

Jelas Muhyiddin, senarai sektor terpilih akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan bahawa ia tidak bermakna PKP dilonggarkan dan mengingatkan semua pihak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

"Jika terdapat pengusaha, kilang atau syarikat yang melanggar peraturan, kerajaan akan menarik balik kebenaran yang diberikan," katanya.

Dalam ucapannya, Muhyiddin juga berkata beliau sudah mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengetatkan sempadan bagi memastikan pendatang asing tidak bolos masuk ke negara dan membawa virus.

"Di sepanjang sempadan negara kita ini banyak terdapat lorong-lorong tikus. Pendatang asing tanpa izin biasanya bolos menerusi lorong-lorong ini.

"Jika kita tidak tingkatkan kawalan, mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk ke negara kita. Na’uzubillah.

"Jadi, saya telah arahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Imigresen, RELA dan lain-lain agensi yang berkaitan supaya perketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara.

"Ringkasnya, kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa," katanya.

PKP mula berkuat kuasa pada 18 Mac lalu dan pada mulanya dijadual tamat sehingga 31 Mac, sebelum dilanjutkan kepada 14 April, dan kini akan diteruskan lagi sehingga 28 April.

Ia antara langkah yang diambil kerajaan bagi menangani penularan Covid-19.

Malaysia setakat ini mencatatkan 4,346 kes. Daripada jumlah itu seramai 1,830 orang, atau 43 peratus telah sembuh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS