Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Afif pertahan kenyataan sokong buka kedai gunting rambut, dikritik warganet
Diterbitkan:  Apr 12, 2020 8:07 PM
Dikemaskini: 12:07 PM

Bekas timbalan ketua pemuda PKR Dr Afif Bahardin mempertahankan cadangan agar kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi kembali untuk fasa ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP).

Afif menjelaskan pandangannya itu dibuat dalam konteks keperluan dasar yang dapat membantu peniaga membiasakan diri dengan keadaan selepas pandemik Covid-19, atau apa yang dipanggil sebagai "normal baru".

"Saya tulis (pandangan) sebagai adun Seberang Jaya dari PKR. Saya bukan pegawai Azmin...

"Sila ambil maklum," katanya di Twitter, dengan menandakan sebuah portal berita yang melaporkan kenyataannya di Twitter semalam, dalam konteks menyuarakan sokongan terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali.

Kenyataan itu susulan pengumuman Azmin Jumaat lalu, bahawa kedai gunting rambut antara perkhidmatan dan sektor yang dibolehkan menyambung operasi, selepas ditutup sejak penguatkuasaan PKP pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun peniaga perlu membuat permohonan kepada kementerian itu terlebih dahulu. Permohonan dibuka bermula esok.

Dalam kenyataannya semalam, Afif yang merupakan bekas exco kesihatan Pulau Pinang memetik satu kajian perubatan oleh The New England Journal of Medicine, yang didakwanya mendapati menggunting rambut boleh menurunkan tekanan darah.

Kenyataan itu mencetuskan kritikan termasuk daripada mereka yang merujuk kajian yang dibuat pada 2018 itu secara langsung.

Ada yang mengatakan kajian itu dibuat dalam konteks yang berbeza dengan kerisauan pada masa ini, iaitu kebimbangan penularan Covid-19 di kedai gunting rambut.

Tidak seperti keadaan di negara pada masa ini, kajian itu melibatkan pemantauan pesakit tekanan darah tinggi dan peranan tukang gunting yang menggalakkan mereka untuk mendapatkan rawatan atau menukar gaya hidup.

Kenyataan Afif itu turut dikritik Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang antara lain membangkitkan kedai gunting rambut yang terlibat dalam kajian itu pernah menjadi lokasi alternatif untuk mengagihkan ubat tekanan darah tinggi.

"Sumber artikel yang diambil dari NBC News dilaporkan oleh Maggie Fox dan Ian Wenger bertarikh 13 Mac 2018 adalah tidak relevan dalam konteks perdebatan Afif dalam hal ini.

"Saya berharap ahli politik akan lebih berhemah dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak membahayakan kesihatan dan nyawa rakyat Malaysia dalam menangani wabak covid- 19," kata Farhash.

Lihat Komen
ADS