Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Dalam strategi Sun Tzu, perkiraan penting penentu kemenangan sesuatu perang ialah berapa lamakah bekalan dapat bertahan? Sama ada kita adalah negara penyerang negara orang atau negara kita diserang oleh orang lain.

Jika kita negara penyerang, maka sumber bekalan negara disalurkan kepada tentera yang bertugas untuk menyerang sesebuah negara perlu ada had dan catuan.

Jika negara penyerang terus menyalurkan bekalan tanpa had, negara penyerang boleh muflis, seterusnya ia akan diserang semula. Jadi tentera perlu diundurkan sebelum negara pembekal muflis.

Oleh itu, mana-mana tentera pun apabila ia menyerang sesebuah negara, maka ia akan memastikan secepat mungkin perbekalan mereka diperolehi daripada negara yang diserang, bukan terus menerus diambil daripada perbekalan negara.

Tentera Ahzab kalah disebabkan mengepung melebihi tempoh jangkaan yang asalnya dua, tiga hari sahaja, tetapi berlanjutan sekitar 60 hari. Kesannya, kepungan dan perbekalan mereka habis terutamanya selepas ribut yang Allah hantar.

Soviet pecah disebabkan mereka berjaya memasuki Afghanistan tetapi perbekalan ketenteraan mereka terus menerus disalurkan oleh Moscow apabila mereka gagal mengambil minyak dan lain-lain disebabkan perang gerila. 

Sama juga seperti Amerika Syarikat di Afghanistan, tetapi kerajaan Amerika terlebih awal mendengar nasihat senat.

Serangan Ahzab ke Madinah

Begitu juga jika kita adalah negara yang diserang. Perbekalan mesti dijimatkan bagi mengharungi tempoh yang entah bila berakhir. Faktor kemenangan ialah "mampu bertahan".

Sifat semula jadi manusia akan memberontak bila tidak tahan. Bila elemen ini muncul, maka musuh nyata akan masuk. 

Kita masih belum tahu sama ada Covid-19 ini adakah ianya malapetaka semula jadi atau sebenarnya serangan biologikal terancang; mencipta korona virus, menyebarkannya, melemahkan ekonomi seterusnya mereka akan kuasai ekonomi negara-negara yang kehabisan bekalan.

Dalam hal ini, contohi negara Madinah ketika bertahan daripada serangan Ahzab yang pada logiknya mustahil mereka boleh bertahan. 

Tetapi dengan berkat daripada Allah SWT, Madinah akhirnya menang bila bekalan mereka masih berbaki (tiada yang mati kelaparan walaupun mereka lapar) manakala bekalan tentera Ahzab kehabisan akibat lembu kambing dan lain-lain perbekalan terlepas akibat ribut yang dihantar oleh Allah SWT.

Berkat ini terhasil akibat sifat-sifat mereka terutama Rasulullah sebagai qudwah. Dalam satu riwayat menceritakan, ada sahabat yang kelaparan, akibat tidak tahan, beliau menemui Rasulullah saw untuk memohon rasulullah mendoakan supaya Allah turunkan makanan daripada langit.

Apabila sampai kepada Rasulullah, dia membatalkan hasratnya kerana malu, justeru beliau yang kelaparan setakat ikat satu batu diperut sudah pun mahu mengadu, sedangkan Rasulullah SAW mengikat tiga batu diperutnya masih bersabar.

Elaun asas MP kenyangkan 20 rakyat miskin sebulan

Pengajaran cerita, saat genting seperti ini, Rasulullah mengajar kita pemimpin perlu lebih lapar daripada rakyat. Ini qudwah Rasulullah SAW. Ini juga pemimpin-pemimpin negara kita patut contohi.

Jika perlantikan pengerusi-pengerusi GLC perlu dibuat lantikan segera, maka elaun-elaun itu saya cadangkan dimasukkan dalam tabung kerajaan untuk membantu negara menghadapi Covic-19; kerana elaun basic MP sahaja boleh mengenyangkan 20 orang rakyat miskin di bawah selama sebulan. 

Jika ditambah lagi elaun pengerusi GLC yang besar, maka berlipat kali gandalah boleh kenyangkan rakyat bawahan.

Saya turun ziarahi rakyat bawahan, mereka sangat terdesak, RM100 itu sangat-sangat besar bagi mereka. Insyallah, jika kita menjadikan Rasulullah sebagai qudwah, kita akan diberkati dan insyallah kita akan menang bergaya dalam PRU 15 akan datang.

Jika kita agih-agihkan wang negara (termasuk hasilan GLC) sesama pimpinan negara, maka perbekalan negara akan cepat habis, maka mungkin negara kita akan kalah.

Ini pandangan dan nasihat saya kepada kerajaan yang saya dokong, jika baik, maka jadikan teladan dan jika sebaliknya, jadikanlah ia sebagai sempadan.


ZAHARUDIN MUHAMMAD ialah Yang Dipertua PAS Sungai Buloh dan bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS.

Artikel ini asalnya hantaran penulis di media sosial dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS