MP kerajaan dilantik ke GLC: ‘Sila perjelas, PM’
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin digesa mengesahkan kenyataan seorang anggota kabinetnya berkaitan lantikan anggota parlimen kerajaan ke dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Pengasas kumpulan bekas penjawat awam kanan kerajaan G25 Mohd Sheriff Mohd Kassim mengingatkan lantikan politik mestilah memenuhi kriteria dan layak, selari dengan Program Transformasi GLC (GTP) yang dilancar pada 2015.
Katanya, langkah itu diperkenal kerana Ketika itu terdapat keyakinan yang rendah terhadap pengurusan ekonomi kerajaan.
“Walaupun GTP tidak menghalang 1MDB dan skandal lain daripada berlaku, ia kekal relevan sebagai dasar untuk memastikan penyertaan kerajaan dalam ekonomi melalui GLC dipandu oleh standard pentadbiran korporat yang tinggi.
“Saya harap PM akan berikan penjelasan jelas kerana ia akan menentukan sama ada sektor swasta akan terus yakin berkaitan Malaysia selepas kita berjaya menangani wabak koronavirus,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan semalam berkata, beliau difahamkan semua anggota parlimen kerajaan akan diberi tanggungjawab mengendalikan GLC.
"MP PAS ada 18 orang, lapan orang dah jadi menteri dan timbalan menteri, seorang jadi duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.
"Tinggal sembilan orang (lagi). Alhamdulillah saya difahamkan semua MP kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC.
"Kerana mereka semua ini layak, mereka ini adalah ahli parlimen," beliau dipetik sebagai berkata kepada media ketika ditemui di Kota Bharu.

