Covid-19 di Malaysia: 1 lagi korban, 134 kes baru, 47.3% sembuh
Wabak Covid-19 meragut seorang lagi nyawa di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan yang terkorban akibat wabak itu di negara ini sebanyak 77.
Dalam sidang medianya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan sebanyak 134 kes baru dicatatkan, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan yang direkodkan sebanyak total, 4,817 kes.
Setakat tengah hari tadi, sekali lagi, bilangan kes yang pulih dan didiscaj juga adalah melebihi bilangan kes baru yang dilaporkan.
Jumlah kes pulih hari ini adalah sebanyak 168, menjadikan jumlah keseluruhan pulih ialah sebanyak 2,276, iaitu 47.3 peratus. Ini bermakna, jumlah kes aktif adalah 2,464.
Sehingga kini, seramai 66 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 36 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, kes kematian ke-77 (kes ke-2797) membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan merupakan kontak rapat kepada kes indeks ke-703.
Arwah mempunyai latar belakang penyakit jantung, darah tinggi dan penyakit buah pinggang dan dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac 2020 sebelum disahkan meninggal dunia jam 9.15 pagi pada 13 April.
Kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga ke 28 April. Ia merupakan kali kedua PKP yang bermula pada 18 Mac lalu dilanjutkan.
PKP fasa satu dan dua setakat ini menunjukkan keberkesanan dalam melandaikan keluk penularan Covid-19.



