Pelanjutan PKP jejas kelancaran kes mahkamah, kata peguam
Pelanjutan tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan buruk terhadap perjalanan kes-kes di mahkamah, termasuk kes berprofil tinggi, menurut pengamal undang-undang.
Peguam Datuk N Sivananthan berkata banyak perbicaraan hampir selesai ketika PKP dikuatkuasakan, namun pelanjutan tempoh sehingga 28 April menyebabkan sekurang-kurangnya 20 perbicaraan yang melibatkan anak guamnya yang berada dalam tahanan reman tidak dapat diteruskan dan tarikh baharu harus ditetapkan sebaik sahaja PKP berakhir.
"Ini tentu akan bertindih dengan kes-kes yang telah ditetapkan dan ia akan menjadi kesulitan untuk memasukkan semua kes-kes lain.
"Contohnya perbicaraan yang melibatkan mendiang Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais yang hampir selesai apabila PKP berkuat kuasa dan itu menjadi tanda tanya ramai orang bilakah perbicaraan ini akan berakhir," kata Sivananthan yang mewakili tertuduh kelima, doktor tentera Kolonel R Kunaseegaran dalam perbicaraan pembunuhan Kevin Morais.
Menyuarakan pandangan sama, peguam Datuk K Kumaraendran berkata pelanjutan PKP menyebabkan pergerakan kes terganggu.
"Apabila ada cuti yang panjang, kita perlu mengingatkan semula anak guam (butir-butir kes atau perbicaraan) dan ia memakan masa. Bagi saya, mahkamah perlu memberi keutamaan kepada semua kes seperti kes penculikan dan dadah, bukan hanya kes berprofil tinggi," katanya.
Ketika ditanya bagaimana beliau berhubung dengan anak guamnya ketika tempoh agak sukar ini, Kumaraendran berkata beliau berjaya berurusan dengan anak guamnya melalui e-mel.
Kumaraendran mewakili Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam perbicaraan kes rasuah dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah, yang didakwa bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pertuduhan pecah amanah wang milik kerajaan.
Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, walaupun penangguhan kes telah menyebabkan kelewatan namun ia diibaratkan sebagai ‘kesulitan yang perlu diterima’.
“Kita sedang berhadapan dengan pandemik yang sangat serius dan tindakan seperti PKP telah terbukti menjadi penyelesaian terbaik, jadi semua orang perlu bersabar dan akhirnya kita akan dapat kembali semula ke mahkamah," katanya.
- Bernama

