KKM perincikan status bekalan PPE
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memberikan perincian memberikan perincian mengenai kesiapsagaan dan status bekalan peralatan pelindung diri (PPE).
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, seperti kebanyakan negara lain yang berdepan Covid-19, Malaysia juga berdepan cabaran dalam memastikan bekalan PPE mencukup.
Dalam sidang medianya hari ini, Noor Hisham memaklumkan bahwa bekalan PPE dapat bertahan selama 19 hingga ke 78 hari.
Jenis PPE dan status bekalan setakat ini adalah sepeti berikut:
- Footwear/boot cover – baki stok 78 hari
- Protective head cover - baki stok 52 hari;
- Alat penutup hidung dan mulut jenis 3-ply mask - baki stok 47 hari;
- Alat penutup hidung dan mulut jenis surgical N-95 mask - baki stok 37 hari;
- Disposable Face Shield (eye visor, face shield or googles) - baki stok 25 hari
- Disposable Fluid Resistant Apron (Long Sleeves With Cuff) - baki stok 23 hari;
- Jumpsuit/ Protective Coverall – baki stok 19 hari
- Gaun plastik biasa, dan lain-lain jenis PPE.
Noor Hisham berkata bagi memastikan terdapat stok berterusan, KKM telah dan sedang terus menjalankan proses perolehan PPE secara pembelian pukal di peringkat pusat dan peringkat negeri.
"KKM juga bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan lain-lain agensi pusat bagi memastikan isu berkaitan stok ini dapat diberi perhatian khusus.
"Sumbangan PPE oleh pelbagai pihak swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan para dermawan terus dialukan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka," katanya.
Beliau menambah bahawa KKM menggunakan sistem pelaporan dan pangkalan data dalam talian bagi memantau rapat paras stok dan kadar penggunaan.
Sistem berkenaan dikendalikan oleh Pegawai di setiap Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), hospital-hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) (termasuk semua Klinik Kesihatan di bawah masing-masing PKD).
"Laporan ini dipantau rapat dan tindakan mobilisasi stok akan dibuat.
"Senarai nama, nombor telefon dan emel pegawai bagi setiap negeri telah dimaklumkan bagi membantu orang umum dan kakitangan untuk memberi maklumbalas sekiranya didapati berlaku kekurangan PPE.
"Semakan segera dan tindakan mobilisasi akan dilakukan mengikut keperluan dan keutamaan," katanya.
Tambah Noor Hisham, bukan semua petugas kesihatan perlu memakai ke semua jenis PPE pada masa mereka bertugas.
Jelasnya, ia penting bagi memastikan kadar dan pola penggunaan PPE di fasiliti kesihatan KKM.
"Sehubungan itu, pihak KKM menyarankan penggunaan PPE cermat dan berhemah oleh semua petugas kesihatan memandangkan ia digunakan secara berterusan," katanya.

