Kementerian Kesihatan Malaysia mencatatkan bahawa sejumlah 315 atau enam peratus pesakit positif Covid-19 di negara ini terdiri daripada mereka yang berusia di bawah 14 tahun.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah itu merangkumi 83 pesakit yang berumur di bawah 4 tahun.

"Jika kita melihat data kita, setakat ini, di bawah usia 4 tahun, kita mempunyai 83 pesakit, dan 83 yang lain berasal dari kumpulan usia antara 5 dan 9 tahun.

"Terdapat 149 pesakit yang berumur antara 10 hingga 14 tahun. Secara keseluruhan, terdapat 315 pesakit keseluruhannya yang berumur 14 tahun ke bawah.

"Itu sekitar enam peratus (dari jumlah kes positif di negara ini)," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Setakat tengah hari ini, Malaysia mencatatkan 5,182 kes Covid-19. Bagaimanapun, 54.3 peratus daripada jumlah itu, atau 2,766 telah pulih sepenuhnya dan keluar dari hospital, sementara 84 orang telah meninggal dunia.

Noor Hisham menjelaskan bahawa kebanyakan kes positif di kalangan kanak-kanak juga melibatkan ahli keluarga yang lain, seperti ibu atau bapa mereka.

Katanya, dalam kes seperti itu, anak-anak dan ahli keluarga mereka akan ditempatkan di bilik yang sama untuk rawatan dan kuarantin.

Namun, bagi ibu bapa yang diuji negatif, mereka masih dibenarkan menjaga anak-anak di wad tetapi mereka mesti menandatangani borang ikrar dan dinasihatkan untuk memakai peralatan pelindung diri.

Sementara itu, ditanya mengenai apakah KKM telah mulai melakukan ujian pengesanan terhadap pekerja asing di negara ini, Noor Hisham mengatakan ia adalah antara dua kumpulan yang mereka sasarkan.

Kumpulan yang lain adalah warga emas yang merupakan penduduk rumah orang tua, yang terdedah kepada jangkitan.

"Kami bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (untuk menyaring penduduk rumah orang tua). Dan seterusnya adalah melakukan pemeriksaan terhadap pekerja asing.

"Jadi apa yang kita lakukan sekarang adalah kita bekerjasama dengan NGO seperti Mercy, dan juga Suruhanjaya Tinggi PBB Untuk Pelarian.

"Kami bekerjasama dengan mereka untuk memberi perkhidmatan kepada pekerja asing," katanya.