Noor Hisham: Pengiktirafan itu untuk negara
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan pujian yang diberikan kepadanya oleh rangkaian televisyen China Global TV Network (CGTN) adalah cerminan usaha kolektif negara dalam menangani wabak Covid-19.
“Saya rasa pengiktirafan itu bukan untuk (kerja) saya tapi untuk negara,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya pendapat selepas CGTN menyenaraikan beliau sebagai doktor terbaik dunia bersama Pasukan Petugas Khas Koronavirus Rumah Putih Dr Anthony Fauci dan rakan sejawatnya dari New Zealand Ashley Bloomfield.
CGTN memuji ketiga-tiga individu tersebut berikutan sikap berterus terang dan tenang dalam mengendalikan wabak Covid-19 di negara masing-masing.
Sementara itu, Noor Hisham juga menambah bahawa pujian tersebut milik petugas barisan hadapan - termasuk pegawai kesihatan, pihak polis, askar, pegawai imigresen - yang bekerjasama membendung penularan wabak Covid-19.
Jelasnya, terdapat dua kumpulan utama lain yang menjayakan perintah kawalan pergerakan (PKP), iaitu petugas yang mengawal sempadan dan petugas yang mengehadkan pergerakan orang awam.
Justeru, beliau menegaskan bahawa beliau percaya pujian CGTN adalah buat seluruh negara.
“Yang penting adalah KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) kerja sebagai satu pasukan (bersama pihak lain).
“Macam PKP, sebagai contoh. Kita nasihat dan yang buat keputusan adalah perdana menteri bukan saya,” katanya.
Noor Hisham turut menzahirkan rasa terima kasih kepada kementerian dan menteri yang bekerjasama untuk melaksanakan PKP.

