Singapura catat lebih 4,000 kes Covid-19
Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura semalam melaporkan tambahan 728 kes jangkitan COVID-19, dengan majoriti dari kluster asrama pekerja asing.
Dengan kes baharu itu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 4,427 kes.
“Jumlah kes baharu dalam kalangan pemegang Permit Kerja yang menetap di asrama telah meningkat dengan ketara, dan ia adalah selaras dengan usaha berterusan kami untuk lebih aktif menguji dan mengasingkan pekerja yang dijangkiti,” menurut MOH dalam kenyataan di Singapura.
Kes itu melibatkan Pemegang Permit Kerja yang tinggal di asrama seramai 654 manakala 26 lagi yang mempunyai Permit Kerja menetap di luar asrama.
Menurut MOH bilangan kes baharu dalam kalangan pemegang Permit Kerja yang tinggal di luar asrama telah meningkat, purata sembilan kes sehari pada minggu sebelumnya, kepada purata 15 kes dalam seminggu yang lalu.
Menurut MOH daripada kes baharu itu, 81 peratus dikaitkan dengan kluster yang diketahui, manakala selebihnya masih lagi menunggu pengesanan kontak.
Dua warganegara Malaysia adalah antara kes baharu hari ini, seorang dikaitkan dengan kluster asrama di Jalan Kubor manakala seorang lagi dikaitkan dengan Kes 3,306, seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 21 tahun.
Lima kluster baharu dikenal pasti kebanyakannya melibatkan asrama iaitu Leo; SJ; Westlite Mandai; Sungei Kadut Street 4; dan Grandwork Building di Sungei Kadut Street 3.
Dua kluster yang dikaitkan dengan Masjid Al-Muttaqin dan Church of Singapore di Bukit Timah sebelum ini, kini telah ditutup kerana tiada lagi kes sepanjang tempoh dua inkubasi yang lalu.
Mengemas kini mengenai kes yang telah disahkan, MOH berkata 31 lagi kes COVID-19 telah discaj dari hospital atau kemudahan pengasingan komuniti.
Secara keseluruhan, 683 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah keluar hospital atau kemudahan pengasingan komuniti.
Daripada 1,886 kes yang disahkan yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala 23 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.
MOH berkata 1,848 kes yang sihat secara klinikal tetapi masih positif untuk COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.
Singapura setakat ini telah merekodkan 10 kematian berikutan jangkitan COVID-19.
- Bernama

