Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melakukan semula sanitasi awam di kawasan zon merah Covid-19 sekiranya perkara itu perlu, kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Beliau berkata, setakat semalam, 2,284 operasi sanitasi awam dilakukan di seluruh negara dengan keutamaan diberikan terhadap kawasan zon merah.

Antara tempat yang diberi tumpuan adalah bangunan kerajaan, tempat awam, pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan pasar raya.

"Kita akan tumpukan (kawasan memerlukan sanitasi awam) tetapi keutamaan telah pun kami beri kepada kawasan (zon) merah dan jika perlu kami akan buat lagi (operasi sanitasi awam).

"Semalam sahaja kami melaksanakan 196 operasi sanitasi di 70 zon melibatkan 14 negeri di seluruh Malaysia. Kami akan cuba menyeluruhkan, menghabiskan seluruh sasaran (operasi sanitasi awam) yang ada," katanya ketika ditemui dalam operasi sanitasi awam di kawasan Zoo Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam operasi itu, 70 anggota dari enam agensi yang terlibat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan, SWCorp, Alam Flora, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

- Bernama