Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya mengesan kluster Covid-19 baru di pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya hari ini berkata kluster berkenaan melibatkan pelajar Malaysia yang pulang daripada Indonesia.

"Kluster ini terdiri daripada 43 orang pelajar yang pulang dari Temboro, iaitu salah satu tempat yang telah diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Indonesia.

"Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 34 orang telah dikuarantin di negeri Melaka dan sembilan orang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," kata Noor Hisham.

Jelas Noor Hisham, perkembangan itu menunjukkan bahawa tindakan kerajaan untuk mengambil langkah kuarantin dan menyaring semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah tepat.

"Ini bagi memastikan kes import tidak menjangkiti penduduk Malaysia," katanya.

Noor Hisham kemudian memperincikan angka rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara yang dikuarantin.

Katanya, jumlah mereka yang dikuarantin adalah 15,800 dan daripada jumlah itu, 11,725 individu masih dalam kuarantin.

Terdapat 1,041 individu yang dikuarantin yang pulang dari perhimpunan tabligh.

Daripada keseluruhan individu yang dikuarantin, 8,410 sampel diambil dan dari sampel tersebut, 65 disahkan positif.

"Daripada sampel itu, yang positif ialah 65, iaitu 17 yang saya umumkan semalam dan hari ini 43 dari Jawa Timur dan ada tiga dari Aceh, satu dari Turki dan satu dari Kalimantan," katanya.