Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis rakam keterangan exco Perak isu langgar PKP
Diterbitkan:  Apr 20, 2020 2:30 PM
Dikemaskini: 6:30 AM

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, semalam untuk memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata Razman hadir bersama lima orang yang lain bagi memberi keterangan berhubung gambar tular beliau bersama-sama beberapa individu dan seorang timbalan menteri hadir pada majlis jamuan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, baru-baru ini.

“Kesemua mereka diambil keterangan yang berlangsung kira-kira satu jam oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Perak pada pukul 4.30 petang. Kes itu juga akan disiasat oleh IPK Perak,” katanya pada sidang media di IPD Daerah Kerian di Bagan Serai hari ini.

Semalam, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gunung Semanggol dan Pesuruhjaya PAS Perak, membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi akaun Facebook beliau, berhubung isu tersebut.

Dalam perkembangan lain, Omar Bakhtiar berkata lapan individu termasuk empat wanita ditahan ketika leka bermain judi semasa tempoh PKP di sebuah rumah di Kampung Teluk di sini, semalam.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur antara 53 dan 59 tahun ditahan dalam serbuan pada pukul 4 petang, selain polis merampas daun terup, enam kerusi, sebuah meja dan wang tunai berjumlah RM119.

Katanya kesemua mereka ditahan reman dua hari bermula hari ini, dan disiasat mengikut Seksyen 6 (11) Akta Rumah Judi Terbuka 1963 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

- Bernama

Lihat Komen
ADS