Nadma bantu kepulangan rakyat lepas habis kuarantin
KORONAVIRUS | Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan membantu rakyat Malaysia yang perlu membuat perjalanan merentasi sempadan negeri selepas selesai menjalani kuarantin wajib, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menurut menteri kanan itu kerajaan faham kesulitan orang ramai yang menamatkan tempoh kuarantin wajib terutama membabitkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara.
Sesetengah mereka, kata Ismail Sabri, perlu pulang ke negeri lain selepas dikuarantin di Kuala Lumpur dan pada masa sama perlu berdepan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Mungkin mereka dikuarantin di Kuala Lumpur dan perlu pulang ke Pahang.
"Untuk mudahkan urusan mereka balik ke kampung halaman, Nadma akan membantu menguruskan kepulangan mereka," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata setakat 18 April lalu seramai 2,182 orang sudah menamatkan kuarantin wajib yang ditetapkan dan mereka dibenarkan pulang.

