GLOBAL | Sebuah pesawat Icelandair mengucapkan terima kasih buat petugas kesihatan yang bertungkus-lumus menangani Covid-19, dalam cara tersendiri, dengan meninggalkan jejak penerbangan berbentuk hati di udara.

Berdasarkan laporan Iceland Monitor, dalam perjalanan membawa bekalan perubatan dari China ke Iceland, juruterbang membuat lencongan bagi menghasilkan jejak berbentuk hati, demi menzahirkan penghargaan buat pekerja kesihatan.

Perkara menyentuh hati itu dikongsikan Flightradar 24 di Twitter mereka semalam.

Berdasarkan ciapan itu, pesawat Boeing 767 itu membuat lencongan itu di bandar Reykjavik, yang merupakan ibu kota Iceland.

Jejak hati itu boleh dilihat menerusi sejarah penerbangan pesawat itu dari Shanghai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Keflavík.

Berdasarkan laporan Foxnews, meskipun berlaku pertambahan sembilan minit tempoh penerbangan dalam perjalanan sejauh 5,600 batu itu (kira-kira 9000 km) itu, aksi itu memberi makna buat petugas-petugas kesihatan.

Penerbangan itu dilaporkan membawa 18 tan peralatan perubatan dari China, yang akan digunakan dalam menangani Covid-19.

Ia merupakan penerbangan ketiga, dengan dua penerbangan terdahulu masing-masing membawa 17 dan 16 tan bantuan seumpamanya.

Setakat semalam, Iceland mencatatkan 1,771 kes, dengan 9 kematian.