Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Presiden Mexico minta kartel dadah henti keganasan, tak perlu edar makanan

Presiden Mexico mengingatkan kartel dadah agar tidak perlu mengedarkan makanan dan sebaliknya menghentikan jenayah keganasan.

Peringatan itu hadir selepas media negara itu melaporkan tentang kartel bersenjata yang mengedarkan bantuan termasuk makanan dalam bungkusan yang lengkap dengan logo kartel dadah.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador berkata kotak bantuan yang berisi makanan asas dan barang keperluan kebersihan itu tidak membantu.

“Organisasi penjenayah ini yang dilihat mengedarkan bantuan ini tidak membantu. Apa yang membantu adalah mereka berhenti membuat jenayah,” katanya dalam satu sidang akhbar.

Presiden Mexico berhaluan kiri itu, berkata kartel dadah sepatutnya berhenti daripada mencederakan orang lain dan sebaliknya berfikir tentang kesengsaraan yang dicetuskan oleh mereka terhadap keluarga sendiri serta keluarga mangsa mereka.

Mexico merekodkan sebanyak 34,582 kes bunuh sepanjang tahun pertama Lopez Obrador sebagai presiden pada 2019.

Lopez Obrador dilihat mengambil pendekatan yang bersifat kurang bersemuka dalam meredakan keganasan di negara itu sebaliknya menggunakan pendekatan sosial bagi menyelesaikan punca masalah jenayah.

Minggu lalu, beberapa kartel dadah dilaporkan mengerahkan ahli kumpulannya untuk memberikan bantuan kepada penduduk yang kesempitan wang ekoran pandemik wabak Covid-19.

Anak perempuan kepada Joaquin ‘El Chapo’ Guzman, Raja Dadah dan bekas ketua kartel Sinaloa yang kini dalam penjara, adalah salah seorang yang dilihat mengedarkan kotak bantuan yang mempunyai logo kartel iaitu ‘El Chapo 701’, yang memaparkan imej bapanya.

Kotak bantuan itu yang mengandungi minyak masak, beras, gula dan bekalan lain diedarkan di Guadalajara, bandar kedua terbesar di Mexico.

Selain daripada Kartel Sinaloa yang dikaitkan dengan Guzman, kartel lain yang turut mendapat publisiti dengan mengedarkan bantuan kepada penduduk yang miskin termasuklah Kartel Jalisco New Generation dan Los Durango.

Gambar-gambar yang disiarkan di media sosial pada Isnin menunjukkan ahli-ahli kumpulan kartel lengkap dengan senjata sedang mengedarkan kotak bantuan.

Sementara itu, Lopez Obrador dikritik kerana tidak memberikan bantuan kewangan kepada syarikat-syarikat dan pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Sejak sebulan lalu, ekonomi negara itu terjejas teruk ekoran wabak Covid-19.

Sehingga kini, terdapat lebih 8,000 kes positif Covid-19 di negara itu dengan hampir 700 kematian dikaitkan dengan wabak berkenaan.

- Reuters

Lihat Komen
ADS