57 kes baru, 3 lagi korban, 61.1 peratus pulih
Malaysia mencatatkan 57 kes baru Covid-19 setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatif kes ialah 5,482.
Dalam sidang media di Putrajaya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baru yang dilaporkan terdiri daripada 18 kes import rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan 49 jangkitan tempatan.
Noor Hisham juga memaklumkan bahawa sebanyak 54 lagi telah pulih, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah pulih ialah sebanyak 3,349, atau 61.1 peratus.
Ini bermakna kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah sebanyak 2,041.
Tiga lagi kematian turut dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan korban wabak itu sebanyak 92.
Tiga kes kematian itu adalah seperti berikut:
- Kes kematian ke-90 (kes ke-2050) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau adalah ibu kepada kes ke-2053 (yang turut mempunyai gejala pada hari yang sama). Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 20 April 2020 jam 1.47 tengah hari.
- Kes kematian ke-91 (kes ke-4090) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 6 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 21 April 2020 jam 2.28 pagi.
- Kes kematian ke-92 (kes ke-5332) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 92 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dementia. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-4711. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 8 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 21 April 2020 jam 1.30 pagi.
Sementara itu, dalam sidang medianya, Noor Hisham berkata, meskipun rekod menunjukkan penurunan kes harian beberapa hari ini, KKM telah mengesan sejumlah kes positif melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara.
Jelasnya, ia telah dijangka, memandangkan lebih daripada 180 buah negara di seluruh dunia telah terkesan akibat pandemik itu.
"Justeru, tindakan mewajibkan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara untuk ditempatkan di stesen kuarantin di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah bertepatan," katanya.
Noor Hisham juga memaklumkan bahawa dalam tempoh lebih dua minggu sejak 3 April, seramai 12,160 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin.
Daripada jumlah tersebut, setakat ini 7,910 individu telah disampel di mana 77 kes positif dikesan (iaitu 0.97 peratus).
"Tindakan proaktif ini telah menyaksikan peningkatan jumlah kes yang dilaporkan di negeri di mana mereka dikuarantinkan.
"Misalnya peningkatan 37 kes di Melaka, 32 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga kes di Sarawak, tiga kes di Johor, dan dua (2) kes di Selangor. Kes-kes positif ini telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital," katanya.


