Situasi Covid-19 bertambah baik tapi ada ancaman kes import
Bilangan kes Covid-19 di negara ini menunjukkan aliran menurun tetapi kini terdapat peningkatan daripada kes import.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 77 rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara diuji positif Covid-19 sejak pelaksanaan kuarantin wajib di pusat-pusat kuarantin pada 3 April.
"Seperti yang telah dimaklumkan, dalam tempoh beberapa hari ini bilangan kes harian menunjukkan tren penurunan yang amat memberangsangkan.
"Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan mengesan beberapa kes Covid-19 melibatkan rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara.
"Namun demikian, KKM telah mengesan sejumlah kes positif Covid-19 yang melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Daripada 57 kes baru Covid-19 hari ini, 18 melibatkan rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara.
Beliau sekali lagi menegaskan tindakan mewajibkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin di stesen-stesen kuarantin sebagai tindakan tepat.
Beliau berkata setakat ini, seramai 12,160 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin dan 7,910 telah menjalani ujian.
Tambahnya, kes-kes di luar negara juga telah menyumbang kepada kenaikan ketara dalam kes-kes bagi kawasan tertentu.
Bagaimanapun, ia bukan kes di mana pesakit menjangkiti masyarakat setempat tetapi disebabkan mereka dikuarantinkan di sesuatu tempat.
"Sebagai contoh, terdapat peningkatan sebanyak 37 kes di Melaka, 32 di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga di Sarawak, tiga di Johor dan dua di Selangor.
"Mereka telah diasingkan dan dirawat di hospital," katanya.
Noor Hisham berkata perkara itu perlu dipertimbangkan sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) ditarik balik.
"Kalau kita hentikan kawalan sempadan ada besar kemungkinan mereka datang ke Malaysia akan bawa penyakit," katanya.
Akan bincang keperluan tutup sempadan
Ditanya sama ada kementerian akan menasihatkan kerajaan untuk menutup sempadan bagi pengunjung luar negara yang datang ke negara ini, Noor Hisham berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu.
Menurut beliau, mereka perlu melihat jika terdapat cara berkesan untuk mengesan jika mana-mana pelawat yang memasuki negara ini bebas daripada virus berkenaan atau sebaliknya.
"Yang itu kita akan bincangkan dari segi untuk dapatkan kepastian bagaimana kita dapat mengesan mereka yang datang ke negara kita tak ada virus.
"Jadi kalau ada kaedah penyiasatan yang bagus, dapat mengesan mereka tiada virus, itu tak ada masalah. Tapi kalau kita tak dapat mengesan mereka, jadi kita kena kuarantin mereka untuk tempoh 14 hari," jelasnya.

