Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua baru Umno Selangor, Noh Omar, berkata beliau akan memberi tumpuan untuk meningkatkan kerjasama Muafakat Nasional di negeri itu bagi memastikan gabungan terbabit dapat merampas semula negeri terbabit daripada Pakatan Harapan (PH).

“Saya punya pendekatan sangat ringkas. Apa-apa pun, matlamat kita, Umno kena menang... nak menang balik pilihan raya di Selangor. (Itu) Saya punya matlamat, dan kita juga akan pertingkatkan kerjasama dengan Muafakat Nasional," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Bekas menteri pertanian itu berkata, untuk di Selangor Umno akan memberikan lebih tumpuan kepada kerjasama membabitkan parti itu dan PAS melalui Muafakat Nasional.

Hal itu kerana, kata ahli parlimen Tanjung Karang tersebut, di Selangor apa yang diterima oleh Umno ialah kerjasama dengan Muafakat Nasional.

"Kita akan tekankan konsep Muafakat Nasional di Selangor,” katanya.

Muafakat Nasional ialah gagasan kerjasama rasmi yang menghubungkan Umno dan PAS, dan dimeterai pada 14 Sept 2019.

Kenyataan Noh itu bagaimanapun menimbulkan tanda tanya mengenai sikap Umno Selangor terhadap Bersatu. Untuk rekod kedua-dua parti menjalinkan hubungan - selepas Umno ditolak pengundi pada PRU ke-14 - sehingga membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Dicadangkan semua ketua bahagian

Bagaimanapun sebahagian pemimpin Bersatu memilih menolak kerjasama berkenaan. Kumpulan berkenaan diketuai pengerusi parti terbabit, Dr Mahathir Mohamad.

Pelantikan Noh diumumkan Umno semalam dan beliau ketua terdahulu, Mat Nadzari Ahmad Dahlan. 

Noh sebelum ini melepaskan jawatannya sebagai ketua perhubungan Umno negeri - yang disandangnya sejak 2013 - susulan kekalahan teruk mereka pada PRU ke-14.

Sementara itu, kata Noh, pelantikannya dibuat atas dasar “kompromi” dan tidak melibatkan apa-apa kekecohan atau pemecatan, sebaliknya semata-mata untuk kepentingan parti.

Menurut beliau namanya dicadangkan oleh semua ketua bahagian Umno Selangor agar kembali mengepalai badan berkenaan memandangkan hanya seorang daripada 22 ketua bahagian di negeri itu merupakan wakil rakyat.

Mat Nadzari

Selain itu juga, kata Noh, faktor lain ialah bagi membolehkan beliau - yang juga merupakan anggota Majlis Pembangunan Persekutuan di Selangor - menjadi wakil Umno dalam agensi tersebut.

Menurut Noh, hanya wakil saja yang boleh menjadi anggota majlis berkenaan. Pengerusi lama, katanya, bukanlah seorang wakil rakyat.

Pada masa sama, kata Noh, parti lain mempunyai wakil masing-masing dalam majlis tersebut, seperti Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi (Adun Sijangkang) dan Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari (Adun Selat Klang). 

“Berkompromi elok, tak ada kecoh, tak ada apa. Cara pun tak ada (yang) pecat. Memang Nadzari pulang balik jawatan, Megat (Megat Zulkarnain Omardin) pun pulang balik jawatan, serah kepada presiden.

“Semalam mereka (ketua bahagian) nasihat, semua mereka letak saya. Dan juga (untuk) timbalan, Zahid kekalkan Megat,” jelasnya.

Tidak akan jual bangunan

Noh turut berbesar hati menerima kembali jawatan yang pernah disandangnya itu setelah hampir dua tahun menjadi 'makmum' dalam Umno Selangor.

“Saya pun berbesar hati juga. Iyalah, bila dulu saya dah letak jawatan ini, jadi saya jadi makmum sajalah.

“Tapi bila dah sebulat suara minta saya kemblai untuk mewakili (Umno) Selangor, jadi saya terima,” katanya lagi.

Selain memperkukuh kerjasama dalam Muafakat Nasional, Noh turut berkata beliau akan memantau pentadbiran Selangor oleh PH, sementara memperkukuh perpaduan Umno Selangor itu sendiri.

“Sebab prinsip kita, tanpa perpaduan, tidak ada kekuatan. Tanpa kekuatan, takkan mencapai kejayaan dan kemenangan. Bersatu, berpadu, baru capai kejayaan,” katanya.

Ketika disoal mengenai status penjualan bangunan Umno Selangor yang menjadi pertikaian hangat antara Nadzari dan sebahagian ketua bahagian, Noh memberi hanya jawapan ringkas tetapi tegas.

“Saya tak akan jual bangunan Umno Selangor. Bangunan Umno Selangor takkan dijual,” jawabnya. 

Lihat Komen
ADS