Malaysiakini
BERITA

Prosiding mahkamah rayuan disiarkan secara langsung esok

Diterbitkan

Buat pertama kali dalam sejarah, Badan Kehakiman Malaysia akan mengadakan siaran langsung pendengaran kes di Mahkamah Rayuan secara dalam talian esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, langkah itu bagi membolehkan orang awam untuk melihat secara langsung pendengaran kes yang dijalankan seperti di mahkamah terbuka dan juga memastikan akses kepada keadilan adalah berterusan.

Siaran langsung pendengaran kes itu akan diadakan pada pukul 10 pagi esok melalui Portal Rasmi Badan Kehakiman Malaysia.

"Sehubungan itu, orang ramai boleh menyaksikan siaran langsung tersebut melalui pautan berikut: www.kehakiman.gov.my," katanya.

Dalam situasi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan, Badan Kehakiman Malaysia telah menjalankan pendengaran kes-kes tertentu secara dalam talian.

Bagi melengkapkan dan menyokong pendengaran kes secara dalam talian ini, Badan Kehakiman maju selangkah lagi dengan melaksanakan projek perintis iaitu siaran langsung pendengaran kes secara dalam talian.

Pendengaran rayuan esok akan melibatkan tiga perayu iaitu - Zhoa Fangliang, Jin Haifang dan Zhu Cunhua terhadap Syarikat Pengangkutan Satu Hati Sdn Bhd.

Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac, mahkamah masih boleh mendengar permohonan reman, pendakwaan kes baharu, permohonan kes jenayah, semakan keputusan mahkamah rendah dan pengurusan kes biasa.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.