Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM sampaikan perutusan khas jam 8 malam ini
Diterbitkan:  Apr 23, 2020 2:35 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dijadual menyampaikan perutusan khas di televisyen pada jam 8 malam ini.

Bagaimanapun, kemungkinan ucapannya tidak akan menyentuh mengenai perintah kawalan pergerakan (PKP), yang telah dilanjutkan dua kali sejak pelaksanaannya pada 18 Mac.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya telah bertemu Muhyiddin pagi ini namun mereka hanya membincangkan secara prinsip sama ada PKP perlu dilanjutkan atau tidak.

"Kami telah membincangkan secara prinsip, kini kami perlu dapatkan fakta dan Sains," katanya menambah perkara itu akan dimuktamadkan dalam beberapa hari lagi.

Jumlah kes baru di seluruh negara kekal dengan dua angka sejak beberapa hari lalu, manakala hampir dua pertiga pesakit telah pulih.

Perutusan khas Muhyiddin dijangka disampaikan selepas pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung penentuan 1 Ramadan.

Sumber memberitahu Malaysiakini ucapan itu dijangka memberi tumpuan terhadap sambutan Ramadan, di mana rakyat Malaysia beragama Islam dijangka mula berpuasa esok.

Namun disebabkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengadakan mesyuarat sebelum perutusan khas itu disampaikan, keputusan mengenai PKP mungkin dimasukkan dalam perutusan berkenaan.

Pada masa ini, kerajaan telah memberikan beberapa pengecualian kepada syarikat daripada sektor tertentu untuk beroperasi dalam usaha menangani krisis ekonomi semasa.

Pelbagai pihak menggesa PKP dilonggarkan tetapi pakar perubatan memberi amaran jumlah jangkitan Covid-19 mungkin bertambah semula sekiranya sekatan itu ditarik balik.

Seperti sebelum ini, kerajaan akan membuat keputusan sama ada melanjutkan PKP atau sebaliknya berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan.

Malaysia telah mencatatkan sejumlah 5,603 kes positif Covid-19 dan 95 kematian setakat tengah hari tadi.

Lihat Komen
ADS