Najib Razak hari ini mengambil peluang "menembak" dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Facebooknya, hari ini.

Dalam dua hantaran berbeza di laman sosialnya, bekas perdana menteri itu menyindir veteran DAP, Lim Kit Siang dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Secara sinis, Najib berkata beliau mempromosikan kenyataan media "Uncle" Lim dari Isnin hingga Jumaat konsisten berkait dengan parlimen.

"Saya bantu uncle promosikan kenyataan-kenyataan media dia dari hari Isnin hingga hari Jumaat minggu ini.

"Monday: Tuntut parlimen; Tuesday: Tuntut parlimen; Wednesday: Tuntut parlimen; Thursday: Tuntut Parlimen; Friday (hari ini): Tuntut parlimen," tulis Najib di laman sosialnya itu.

Lim Kit Siang

Beliau turut memuat naik kenyataan media penasihat DAP yang disiarkan di laman sosialnya.

Dalam pada itu, menjawab kritikan anggota parlimen Shah Alam berhubung isu pelarian Rohingya semasa beliau menjadi perdana menteri.

Bekas presiden Umno itu secara sinis menyifatkan pemimpin PH itu tidak berpandangan jauh serta tidak memahami implikasi jika membenarkan kemasukan pelarian Rohingya.

"Lid (Khalid) puasa ke tidak hari ini? Lid sokong Malaysia menerima semua bot-bot pelarian Rohingya seperti dituntut NGO Human Rights Watch.

"Itulah sebab rejim 'gagalkrasi' PH tumbang. Pandangan PH amat 'short term' Tak pandang jauh.

"PH tak faham implikasi apa yang akan berlaku jika isyarat bahawa Malaysia menerima semua bot pelarian Rohingya diberi dan tersebar luas," tulisnya di Facebook.

Khalid Samad

Najib turut memuat naik tangkap layar media sosial Khalid yang mengkritiknya berhubung "Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya" yang diadakan ketika BN berkuasa.

"Saya dah jelaskan awal pagi ini. Lid baca betul-betul apa implikasinya sebelum buka mulut.

"Puasa tak halang kita membaca, Lid," sindir Najib lagi.

Untuk rekod Pada 4 Disember 2016 "Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya" telah diadakan di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur.

Ia menyaksikan penyertaan Najib yang juga perdana menteri ketika itu serta timbalannya Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Perhimpunan itu juga mencipta sejarah apabila buat pertama kali pemimpin utama Umno dan PAS itu berkongsi pentas.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.