Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tuntutan hilang pekerjaan meningkat tapi masih terkawal - Perkeso
Diterbitkan:  Apr 25, 2020 2:03 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata terdapat peningkatan dalam tuntutan faedah oleh mereka yang kehilangan pekerjaan, namun menjelaskan bahawa keadaan masih terkawal.

“Walaupun terdapat kenaikan dalam bilangan tuntutan faedah SIP (Sistem Insurans Pekerjaan), jumlah pekerja yang hilang pekerjaan masih terkawal di mana angka kehilangan pekerjaan masih di bawah 6,000 sebulan.

“Walaupun begitu, kami sentiasa memantau keadaan dengan teliti setiap hari dan akan memaklumkan kepada kerajaan jika terdapat lonjakan yang tidak dijangka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SIP ialah tabung di mana pekerja menyumbangkan 0.2 peratus daripada gaji mereka sehingga RM7.90 sebulan. Majikan juga perlu menyumbangkan jumlah setara.

Pekerja yang kehilangan pekerjaan mereka boleh membuat tuntutan daripada tabung ini, untuk menerima bantuan sehingga enam bulan, berupa 80 peratus daripada gaji terakhir mereka yang dihadkan kepada RM4,000 untuk bulan pertama.

Bermakna, mereka boleh menerima bantuan maksimum RM3,200, tertakluk pada gaji terakhir masing-masing.

Selepas itu, mereka akan menerima sebanyak 50 peratus daripada gaji mereka pada bulan kedua, 40 peratus pada bulan ketiga dan keempat, dan 30 peratus untuk bulan kelima dan keenam.

Di tengah-tengah kemerosotan ekonomi ekoran pandemik Covid-19, kerajaan turut meluaskan faedah di bawah Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) untuk pekerja yang diminta bercuti tanpa gaji.

Kerajaan turut memperkenalkan Program Subsidi Upah (PSU) antara RM600 ke RM1,200 untuk menggalakkan majikan mengekalkan pekerja berpendapatan RM4,000 ke bawah.

“Inisiatif ini bertujuan untuk menstabilkan pekerjaan, mengelak pemberhentian pekerja secara besar- besaran, mengekalkan pekerjaan dan seterusnya, membolehkan pekerja terutama dalam Kumpulan B40 terus menyara diri dan keluarga di waktu yang sukar ini.

“Sehingga 22 April 2020, Perkeso SIP menerima 205,342 permohonan untuk PSU daripada majikan dan ini menstabilkan pekerjaan bagi 1.67 juta pekerja.

“Pada masa yang sama, lebih daripada 25,411 majikan memohon ERP, meliputi 208,907 pekerja yang mendapat notis cuti tanpa gaji,” kata Perkeso lagi.

Tambahnya, terdapat juga keperluan untuk undang-undang sedia ada terutama bagi memperluas liputan pekerjaan dan perlindungan pendapatan di bawah SIP untuk kumpulan yang terkesan dalam masyarakat, seperti golongan bekerja sendiri dalam sektor tidak formal.

Katanya, RM13.8 bilion diperuntukkan untuk PSU, merangkumi 4.8 juta pekerja untuk tempoh tiga hingga enam bulan.

Kata Perkeso, keutamaan kini adalah untuk mematahkan penularan wabak Covid-19.

“Dalam merangka inisiatif pasca-Covid-19, agensi-agensi berkaitan di bawah Kementerian Sumber Manusia kini sedang bersedia dengan pelbagai program dan strategi untuk menangani masalah pengangguran jangka menengah dan jangka panjang terutamanya dalam membantu pekerja yang terjejas dan penganggur untuk mendapat pekerjaan.

"Kementerian kini sedang mentransformasi dan mengukuhkan Perkhidmatan Pekerjaan Awam Malaysia, memperkenalkan pelbagai dasar dan program pasaran buruh aktif, menggalakkan pertumbuhan pekerjaan, dan memastikan tenaga kerja kita dilengkapi dengan kemahiran dan kompetensi terkini untuk memenuhi perubahan pesat dalam lanskap pasaran buruh dan masa depan pekerjaan," kata Perkeso lagi.

Setakat tengah hari semalam, Malaysia mencatatkan 5,691 kes Covid-19 dengan 96 kematian.

Bagaimanapun, sebanyak 3,663 kes atau 64.4 peratus daripada keseluruhan kes telah pulih, sementara 1,932 lagi masih dalam rawatan.

Lihat Komen
ADS