Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk Menara City One dakwa ujian Covid-19 tak diurus dengan baik

Sudah hampir sebulan sejak Menara City One di Kuala Lumpur diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Kini ada penduduk khuatir ujian saringan terbaru yang dibuat semalam akan membawa kesan sebaliknya, iaitu gelombang baru penularan wabak Covid-19.

Beberapa penduduk yang ditemui Malaysiakini menceritakan keadaan tidak teratur ketika ia dilaksanakan, antaranya tiada penjarakan sosial terutama di tiga daripada empat lif di Blok A kondominium itu.

Malaysiakini juga melihat rakaman video dan beberapa gambar kejadian, yang dikongsi dalam kumpulan Whastsapp penduduk dan kemudiannya di media sosial.

Antaranya penduduk dilihat memakai topeng muka tetapi berdiri terlalu rapat antara satu sama lain, serta sekumpulan penduduk dalam satu barisan panjang.

Anggota jawatankuasa pengurusan Menara City One Dr Nik Nur Eliza, berkata penduduk kecewa kerana keadaan sama terjadi ketika ujian saringan sebelum ini pada 8 April lalu, dan persetujuan telah dicapai untuk mengendalikannya dengan lebih baik.

"Apa yang terjadi semalam telah berlaku pada 8 April. Penduduk diminta turun dalam jumlah yang besar pada masa sama," katanya kepada Malaysiakini.

"Warga emas, bayi, kanak-kanak; semua di tempat sama. Kita sudah jalani PKPD selama sebulan, dan terdesak untuk keluar secepat mungkin.

"Jika pihak berkuasa datang ketuk pintu, tentunya mereka (penduduk) akan patuh arahan," katanya yang juga tinggal di situ.

Selepas 8 April, Eliza berkata pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) setuju untuk mengadakan ujian terhadap penduduk mengikut aras pada suatu sela masa.

"Apa yang saya fikir kejadian semalam kerana mereka mengejar masa," katanya lagi.

Katanya lagi, semalam adalah ujian kedua 'swab' kerongkong terhadap semua penduduk blok A, walaupun KKM telah melakukan ujian sama serta ujian pantas terhadap penduduk.

Menara City One diletakkan di bawah PKPD pada 30 Mac lalu selepas merekodkan 19 kes positif Covid-19. Sejumlah 51 kes positif telah direkodkan tetapi tiada pertambahan kes sejak 21 April.

Eliza berkata, sebaik 10 kes positif terakhir pada 21 April, keesokannya seramai 40 orang yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dibawa keluar untuk dikuarantin.

Dengan mengambil kira semua kes positif dan kontak rapat telah dikenal pasti, Eliza berkata penduduk kecewa dengan keputusan untuk melakukan ujian lanjut dengan pengendalian yang tidak seperti sepatutnya.

"Jika ada kebimbangan keputusan ujian pantas tidak cukup muktamad, mengapa anda tidak buat ujian kedua lebih awal?

"Anda hanya meneruskan kesusahan penduduk di sini," katanya lagi.

Seorang penduduk blok A, Joshua Ng memberitahu Malaysiakini bahawa mereka mula-mula diberitahu untuk bersedia melakukan ujian kira-kira pada pukul 7.30 petang semalam.

Pada pukul 9.15 malam, kakitangan KKM dengan askar datang ke setiap unit. Mereka memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) jadi saya jangka polis juga ada sebab salah seorangnya membawa senjata," katanya.

Ng berkata dia tidak pasti untuk turun segera atau tidak selepas melihat ramai berkumpul di depan lif.

"Sebab masalah itu, ada juga penduduk yang lebih tua yang berkata mereka tidak mahu turun," katanya lagi.

"Terlalu padat, mustahil untuk amalkan penjarakan sosial. Sebaik kami sampai di barisan depan, kami telah terdedah dengan orang lain selama lebih sejam," katanya lagi.

Dia berkata tiada berniat untuk membidas kakitangan KKM yang menjalankan tugas, tetapi menggesa keadaan semalam tidak lagi berulang, termasuk di kawasan lain.

Malaysiakini difahamkan pasukan KKM akan kembali ke Menara City One hari ini untuk menjalankan ujian kepada penduduk blok B.

Terdahulu, menteri kanan kluster keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD di kawasan itu melibatkan 3,200 penduduk di 502 unit kediaman dan 49 kedai.

Tidak seperti kawasan PKPD lain, kedai yang menjual barangan keperluan di kompleks kondominium itu dibenarkan beroperasi.

Perintah PKPD di situ juga tidak mengarahkan penduduk tidak keluar dari unit kediaman mereka, tetapi hanya tidak boleh meninggalkan kompleks kondominium.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS