Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Rakyat dah muak dengar cerita politik
Diterbitkan:  Apr 25, 2020 9:45 PM
Dikemaskini: 4:48 PM

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata rakyat Malaysia kini sudah muak untuk mendengar cerita-cerita politik.

Menurutnya, beliau kini memberi tumpuan dalam menangani krisis Covid-19, berbanding mengulas isu-isu politik seperti keabsahan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajuinya.

"Saya dalam kerajaan, sejak awal saya duduk di kerusi PM saya tak fikir soal politik. Rakyat tak nak dengar dah, dah muak cerita-cerita tu.

"Yang mereka nak tahu apa kerajaan buat, apa PM, jemaah menteri, pentadbiran ni laksanakan untuk menangani isu penting yang mereka hadapi

"Saya tak ada dalam kenyataan sebelum ni, hatta sekarang ni, nak mengulas soal-soal berkaitan politik. 

"Nanti orang kata soal Covid-19 tak selesai, dia cerita soal parti dia, gabungan dia, kerajaan dia, keabsahan dia, ni rakyat tak minat. Saya faham tentang itu," katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam wawancara dengan RTM dan Astro Awani malam ini.

Februari lalu, Muhyiddin yang merupakan presiden Bersatu mengumumkan parti itu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk sebuah gabungan kerajaan baru.

Bagaimanapun, pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad kemudian meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas tidak bersetuju dengan langkah tersebut. 

Krisis politik selama seminggu itu menyaksikan negara tidak mempunyai kerajaan.

Yang di-pertuan Agong akhirnya memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas menerima sokongan daripada BN, PAS, GPS, kumpulan penyokong dari Bersatu dan anggota parlimen PKR yang diketuai Azmin Ali.

Bagaimanapun, PH mempersoalkan dakwaan Muhyiddin mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Muhyiddin juga menghadapi masalah dalam partinya sendiri, apabila Mahathir memilih untuk berada dalam blok pembangkang di parlimen, menandakan kali pertama dalam sejarah sebuah parti berada dalam blok kerajaan dan pembangkang.

Muhyiddin mengisytiharkan pelaksanaan PKP selepas 17 hari mengambil alih jawatan perdana menteri apabila kes jangkitan Covid-19 meningkat secara mendadak.

Perintah itu dilanjutkan sehingga 12 Mei dan setakat ini jumlah kes jangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan.

Kerajaan PN menghadapi tugas sukar untuk memulihkan semula ekonomi yang telah terjejas teruk akibat wabak berkenaan dan penguatkuasaan PKP.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS