Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Antiklimaks, kata Afif lepas digantung PKR
Diterbitkan:  Apr 26, 2020 11:07 AM
Dikemaskini: 3:22 AM

Bekas timbalan ketua AMK Dr Afif Bahardin digantung daripada PKR sementara menunggu siasatan disiplin terhadapnya.

Adun Seberang Jaya itu mendakwa beliau menerima surat penggantungan pada Jumaat lalu.

Afif, yang juga penyokong bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, menyifatkan tindakan parti terhadapnya itu sebagai "antiklimaks."

Bagaimanapun, berdasarkan surat yang dikongsi Afif malam tadi, keputusan penggantungannya dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR pada 21 Mac lalu.

"Sebagaimana yang banyak dijangka; saya cuma menerima “notis penggantungan tanpa sebarang tuduhan.”

"Memang antiklimak (emoji lega). Selamat berpuasa," katanya pada ciapan di Twitter malam tadi.

Walaupun, beliau tidak menjelaskan dengan lebih lanjut maksud kicauannya itu, Afif sebelum ini memberitahu Malaysiakini beliau "cuma menunggu keputusan parti untuk sama ada memecatnya atau tidak."

Sementara itu, ketika dihubungi hari ini, Afif mempertikaikan keputusan penggantungan terhadapnya itu.

"Adakah anda fikir ia proses yang adil?" Soalnya.

Bagaimanapun, beliau enggan menjawab soalan sama ada akan merayu tindakan disiplin itu atau keluar PKR.

Kata Afif, tumpuannya kini untuk berkhidmat di kawasan dewan undangan negeri yang diwakilinya.

"Dengan keadaan PKP, Alhamdulillah saya ada banyak masa untuk fokus berkhidmat di kawasan saya. Rakyat dalam keadaan amat memerlukan bantuan," katanya lagi.

PKR melancarkan siasatan disiplin terhadap Afif selepas Azmin keluar dari parti itu untuk bergabung bersama Bersatu, Umno dan PAS bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Tindakan Azmin, yang digelar "langkah Sheraton" telah menyebabkan keruntuhan pentadbiran Pakatan Harapan yang mendapat mandat menjadi parti pemerintah selepas PRU14 pada 2018.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS