Kolektif tempatan cari penaja untuk hasilkan PPE
Dua kolektif tempatan, Biji-biji Initiative dan Me.reka sedang mencari tajaan korporat untuk penghasilan gaun skrub (scrub suit), iaitu salah satu peralatan pelinding diri (PPE) buat petugas barisan hadapan yang menangani pesakit Covid-19.
Ia susulan kejayaan projek awal mereka untuk menghasilkan dan mengedarkan lebih dari 24,670 pelindung muka, 1,505 ruang aero dan 58 kotak pengasingan pesakit kepada 75 organisasi barisan hadapan di seluruh Malaysia.
"Untuk mendorong pengeluaran, kami secara aktif mencari rakan kongsi korporat untuk membantu memperkasakan inisiatif kami dan menyediakan bekalan penting kepada mereka yang berada di barisan hadapan," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, ia sekali gus memperlihatkan kerjasama erat antara Social Textiles dengan rakan produksi dan pembuat, yang terdiri daripada individu, organisasi, dan organisasi impak sosial.
"Fasa bantuan Covid-19 kali ini bertujuan untuk menyampaikan PPE kepada petugas barisan hadapan melalui model perniagaan yang mampan.
"Organisasi impak sosial membolehkan Social Textiles memperkasakan masyarakat setempat dengan mewujudkan peluang pekerjaan, terutama dalam keadaan ekonomi negara hari ini, mewujudkan ekonomi mikro yang akan dapat menarik, merangsang dan memastikan kelangsungan perniagaan organisasi tempatan dan perusahaan sosial sambil menjaga ketelusan dalam penentuan harga produk dan memenuhi pesanan," kata kumpulan itu.
Di bawah Fasa 2 projek tersebut, badan korporat dapat membantu menghasilkan PPE untuk petugas barisan hadapan.
Menurut kenyataan itu lagi, badan korporat yang menderma akan diberikan laporan untuk mereka melihat kesan daripada tajaan yang diberikan.
"Kerjasama itu membolehkan kami menetapkan harga set gaun skrub PPE pada kadar RM28 setiap satu.
"Pada masa ini, kapasiti pengeluaran kami antara 4,000 hingga 6,000 unit seminggu dan hingga kini, kami telah menyediakan 3,000 unit PPE untuk hospital awam," kata kumpulan tersebut.
"Tajaan sebanyak RM100,000 mampu menghasilkan kesan berganda, dengan nilai sebanyak RM24,090 terus kepada tukang jahit individu, nilai RM 24,090 terus kepada organisasi impak sosial tempatan dan nilai CSR bernilai RM100,000 ke atas organisasi korporat," kata kenyataan itu lagi.
Secara keseluruhan, kumpulan itu berkata projek berkenaan bertujuan untuk menggerakkan 100 pembuat dari dalam komuniti Malaysia, yang membolehkan individu-individu terlibat memastikan 25 peratus hasil dari setiap penjualan diserahkan kepada pembuatnya sendiri.

