Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes PKP: Tiada tindakan pada MB Terengganu
Diterbitkan:  Apr 28, 2020 3:00 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

KORONAVIRUS | Menteri Besar Terengganu yang baru-baru ini menjadi perhatian kerana didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak akan didakwa.

Memetik kenyataan Ketua Polis Terengganu, Roslee Chik, portal berita Malay Mail melaporkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengelaskan kes melibatkan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

Kata Roslee, AGC memulangkan semula kertas siasatan yang dibuka polis memaklumkan kepada mereka bahawa tiada pendakwaan akan dibuat.

“Kami dah selesaikan dan hantar kertas siasatan kepada mereka (AGC).

“Mereka buat keputusan bahawa mereka tak akan dakwa sesiapa dan mereka telah (arahkan) NFA untuk kes ini,” beliau dipetik berkata.

Isu pelanggaran PKP itu timbul apabila beberapa gambar tersebar di media sosial, memaparkan Ahmad Samsuri menikmati hidangan bersama bekas menteri besar Terengganu, Ahmad Said, yang juga pengerusi Umno negeri berkenaan.

Dimaklumkan, Ahmad juga tidak akan dikenakan sebarang tuduhan di mahkamah.

Dua YB didenda mahkamah

PKP dikuatkuasakan di negara ini pada 18 Mac bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ia dijangka tamat pada 12 Mei ini, setelah dilanjutkan sebanyak tiga kali.

Mengikut peraturan PKP, semua perusahaan diarahkan menutup operasi melainkan perkhidmatan penting, dan rakyat diarahkan untuk tidak meninggalkan rumah masing-masing kecuali untuk hal-hal kecemasan, bekerja bagi yang mendapat kebenaran, dan mendapatkan barangan keperluan seperti ubat-ubatan dan barangan runcit dalam persekitaran 10km dari kediaman.

Pagi tadi, timbalan menteri kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali dan exco Perak Razman Zakaria didakwa di mahkamah majistret kerana melanggar PKP.

Kedua-duanya mengaku bersalah untuk kesalahan yang boleh dihukum penjara atau denda itu. Mereka berdua dikenakan denda RM1,000. 

Di bawah Seksyen 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, seseorang yang ingkar PKP boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya.

Sejak tengah hari semalam, wabak Covid-19 telah menjangkiti 5,820 orang dan meragut 99 nyawa di negara ini.

Seramai 3,957 telah pulih dan seramai 1,764 lagi masih dalam rawatan.

Covid-19 telah menjangkiti lebih tiga juta orang di seluruh dunia dan meragut 211,520 nyawa.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS