Kes harian paling rendah sejak 12 Mac, lebih 4,000 sembuh
Malaysia mencatatkan 31 lagi kes Covid-19, iaitu angka harian paling rendah sejak 12 Mac (sembilan kes).
Ini menjadikan jumlah jangkitan yang direkodkan di Malaysia ialah sebanyak 5,851 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa daripada 31 kes baru itu, 10 merupakan kes import dan 21 merupakan jangkitan tempatan.
Noor Hisham turut memaklumkan bahawa satu lagi kematian akibat Covid-19 turut dilaporkan setakat tengah hari tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat wabak itu di negara ini ialah sebanyak 100.
Mengambil kira 4,032 atau 68.9 peratus yang telah sembuh termasuk 75 lagi hari ini, jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ketika ini ialah 1,719 kes.
Daripada jumlah itu, seramai 36 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 17 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Kes kematian ke-100 (kes ke-3628) melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan strok.
Pesakit itu sebelum ini dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 4 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 28 April jam 9.40 pagi.
Sementara itu, Noor Hisham dalam sidang medianya turut menyatakan bahawa kerajaan berjaya melandaikan lengkung jangkitan dan kini dalam tahap pemulihan.
"Misalnya, jumlah kes aktif pada hari ini adalah 1,719, berbanding kes aktif tertinggi, iaitu 2,596 pada 5 April.
"Pencapaian ini adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif kerajaan dalam aktiviti-aktiviti pembendungan penularan Covid-19 sepanjang tempoh sebelum dan semasa PKP ini.
"Ini dapat memastikan fasiliti KKM dapat menampung bilangan pesakit Covid-19 di Malaysia, termasuk kapasiti ICU dan kapasiti penggunaan mesin bantuan pernafasan di hospital," katanya.
Beliau turut menyorot bahawa kawalan sempadan yang diambil kerajaan memainkan peranan penting dalam membendung Covid-19.
Ini kerana, katanya, lebih 180 buah negara yang terbabit dengan jangkitan wabak itu.
Kata Noor Hisham lagi, PKP saja tidak boleh menghapuskan Covid-19 sepenuhnya.
Sebaliknya, masyarakat perlu bersedia menghadapi virus itu untuk tempoh yang lebih panjang.
"KKM akan meneruskan aktiviti-aktiviti pembendungan dan pengawalan. Meskipun begitu, penglibatan aktif rakyat adalah amat penting sekali," katanya sambil menyeru rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri terutama dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun.


