Polis tahan lelaki ugut tikam adik dengan pemutar skru
Polis menahan seorang lelaki kerana memaki-hamun dan mengugut untuk menikam perut adik lelakinya dengan pemutar skru di Taman Desa Murni, Sungai Dua dekat Buterworth malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor, berkata dalam kejadian kira-kira 8.20 malam itu, mangsa berusia 29 tahun berada di rumah sebelum abangnya - berumur 30-an - pulang dalam keadaan mabuk dan berlaku pertengkaran di antara mereka.
"Ketika bertengkar, suspek mengambil pemutar skru dan mengugut mahu menikam adiknya sehingga mati sambil memaki-hamun mangsa.
"Lelaki itu yang bimbang dengan tindakan abangnya bertindak membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ekoran itu, polis menahan lelaki berkenaan dan siasatan awal mendapati ketika kejadian, ibu bapa dan adik-beradik perempuan mereka turut menyaksikan pergaduhan berkenaan.
Beliau berkata punca kejadian disebabkan suspek sering mabuk serta menagih dadah. Suspek kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
- Bernama

