mk-logo
Berita
Perkeso: Program pengekalan pekerjaan dihentikan lepas tiada dana tambahan
Diterbitkan:  May 1, 2020 4:11 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Kira-kira sebulan selepas pelancaran, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menamatkan permohonan untuk Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) kerana kekurangan dana.

Perkeso berkata program itu ditamatkan sepenuhnya sejak 22 April lalu.

"Untuk makluman, permohonan untuk (ERP) telah ditamatkan sepenuhnya berkuatkuasa pada 22 April 2020 memandangkan tiada peruntukan dana tambahan.

"Oleh itu, sebarang permohonan baru yang dibuat selepas tarikh berkenaan tidak akan diproses," katanya di Twitter.

Laman rasmi Perkeso turut memaklumkan perkara sama.

 Diumumkan pad 16 Mac, PRP adalah bantuan kewangan segera kepada pekerja sektor wasta yang dikenakan cuti tanpa gaji oleh majikan susulan pandemik Covid-19.

Bergantung kepada jumlah cuti tanpa gaji yang perlu diambil, mereka layak mendapat bantuan RM600 sebulan antara sebulan hingga enam bulan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini menjangka program itu akan menggunakan peruntukan RM120 juta dan memanfaatkan 33,000 pekerja.

Dalam ciapannya lagi, Perkeso menggesa para majikan untuk memohon untuk Program Subsidi Upah (PSU) yang masih dibuka.

Sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi bagi menghadapi Covid-19, program tersebut diperuntukan untuk mereka yang mendapat gaji RM4,000 ke bawah. Kadar subsidi pula tertakluk kepada jumlah pekerja dalam syarikat.

Bagi syarikat yang memiliki 75 pekerja ke bawah, subsidi yang diberikan ialah RM1,200 bagi setiap pekerja.

Bagi syarikat dengan 76 hingga 200 pekerja, subsidi yang diberikan ialah RM800 seorang, manakala syarikat dengan 201 atau lebih pekerja, jumlahnya RM600 seorang.

Syarikat yang mendapat subsidi itu perlu mengekalkan pekerjanya untuk enam bulan seterusnya. Permohon boleh dibuat di sini.

Lihat Komen
ADS