Bentong kini zon kuning, empat negeri bebas Covid-19
Berdasarkan data yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), jumlah kawasan zon hijau, iaitu kawasan yang bebas dari Covid-19, berkurang satu kepada 91.
Perkembangan itu hadir selepas Bentong kini merupakan zon kuning setelah satu kes baru Covid-19 yang aktif dicatatkan.
Zon kuning merujuk kepada kawasan yang mempunyai satu hingga 40 kes Covid-19 aktif manakala zon merah bermaksud kawasan tersebut mempunyai lebih 40 kes Covid-19 yang aktif.
Perkembangan terbaru ini menjadikan jumlah zon kuning menjadi 58, meningkat satu berbanding semalam.
Jumlah zon merah kekal lapan.
Zon merah ketika ini ialah Lembah Pantai (258 kes aktif), Kuching (143), Kepong (84), Titiwangsa (74), Kluang (70), Kota Samarahan (54), Johor Bahru (46), Titiwangsa (74) dan Hulu Langat (50).
Perak, Perlis, Kedah, Kelantan adalah empat negeri yang bebas daripada kes Covid-19 yang aktif kerana semua pesakit sebelum ini telah pulih.
Sehingga tengah hari semalam, negara mencatat 6,071 kes Covid-19 dan 103 kematian.
Bagaimanapun, 4,210 daripadanya telah pulih sementara 1,758 lagi sedang dalam rawatan.
Kadar jangkitan telah menurun setelah lebih sebulan kerajaan memperkenalkan perintah kawalan pergerakan (PKP).
PKP bermula pada 18 Mac dan akan berakhir pada 12 Mei.
Di bawah PKP, semua perniagaan dan perkhidmatan yang tidak penting diperintahkan untuk ditutup dan orang ramai tidak boleh meninggalkan kediaman mereka tanpa alasan munasabah.
Langkah itu, yang bertujuan untuk mengekang penyebaran Covid-19, telah menyebabkan sebahagian besar ekonomi negara terhenti.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, kerajaan mengumumkan akan membuka semula hampir semua sektor ekonomi pada 4 Mei dengan garis panduan yang ketat.

