Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua hari tak cukup buat persediaan, kata NGO kesihatan
Diterbitkan:  May 2, 2020 5:08 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Sebuah NGO kesihatan, Galen Centre melancarkan petisyen untuk menggesa kerajaan menimbang semula keputusan melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula Isnin depan.

NGO berkenaan berkata kerajaan perlu memberikan masa seminggu kepada komuniti perniagaan untuk membuat persediaan dan memahami prosedur operasi standard (SOP) baru yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, kurangnya persediaan akan menyebabkan pelaksanaan SOP tidak berjaya sehingga akan menimbulkan kemarahan orang ramai dan risiko peningkatan jangkitan Covid-19.

"Kepatuhan yang berjaya memerlukan pemahaman dan persediaan. Masa dua hari tidak mencukupi.

"Majikan dan pekerja di pejabat, kedai runcit dan kedai makan dan lain-lain tempat kerja tidak mungkin diberi taklimat secukupnya dan dilatih kepada pencegahan khusus terhadap penyakit berkenaan mengikut lokasi kerja mereka," menurut petisyen itu.

Petisyen itu menjelaskan SOP yang dikeluarkan MKN tidak memadai kerana komuniti perniagaan dan orang ramai perlu penerangan dan latihan secukupnya.

Mereka berkata pengorbanan rakyat Malayisa dalam mematuhi PKP bagi melandaikan kadar jangkitan dan kematian akibat Covid-19,  akan menjadi sia-sia dengan keputusan terbaru itu.

"Terdapat risiko jangkitan Covid-19 akibat daripada ketidakpatuhan dan salah faham mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana kurangnya masa untuk melakukan persediaan.

"Ini boleh menyebabkan Malaysia terpaksa melaksanakan PKP semula dalam tempoh beberapa bulan lagi. Kami tidak lagi mampu menghadapinya," kata mereka.

Petisyen itu ditandatangani oleh doktor, NGO dan individu, termasuk mereka yang pulih daripada Covid-19.

Pertanyaan mengenai petisyen itu boleh ditujukan kepada [email protected] 

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kebanyakan sektor perniagaan akan kembali beroperasi Isnin ini dengan syarat mematuhi SOP, termasuk penjarakan sosial.

Muhyiddin berkata langkah itu perlu bagi mengelakkan orang ramai kehilangan pekerjaan dan syarikat ditutup.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS