Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sidang parlimen sehari wajar dikekalkan - Takiyuddin
Diterbitkan:  May 3, 2020 2:47 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan parlimen), Takiyuddin Hassan berkata parlimen wajar bersidang sehari pada 18 Mei depan walaupun kebanyakan sektor ekonomi akan dibuka semula Isnin ini.

Takiyuddin berkata, kerajaan mengambil maklum pandangan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung tempoh persidangan parlimen yang terlalu singkat.

"Namun, mengambil kira pendirian kerajaan bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai diadakan pada masa ini dalam rangka mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, sidang parlimen yang dijadualkan berlangsung hanya satu (1) hari sahaja pada 18 Mei 2020 wajar dikekalkan," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 30 April lalu, Majlis Presiden PH menggesa Dewan Rakyat bersidang sekurang-kurangnya dua minggu, selepas kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi mulai 29 April.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, Majlis Presiden PH berkata, beberapa pindaan juga perlu dilakukan terhadap peraturan mesyuarat bagi membolehkan parlimen bersidang lebih lama.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebanyakan sektor ekonomi akan dibuka semula pada Isnin, lebih awal daripada tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa keempat yang dijadual berakhir 12 Mei.

Beberapa sektor perniagaan seperti restoran dibenarkan dibuka semula, manakala aktiviti rekreasi juga boleh diteruskan dengan syarat perlu mematuhi penjarakan sosial.

Bagaimanapun, sebarang bentuk perhimpunan masih tidak dibenarkan.

Sehubungan itu Takiyuddin berkata susunan kedudukan anggota parlimen di dalam Dewan Rakyat juga akan diubah suai untuk mengamalkan penjarakan sosial.

"Ia bagi menjamin semua ahli Dewan dapat mengambil bahagian dalam ruang lingkup SOP (Prosedur operasi standard) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan memperkenalkan beberapa rang undang-undang yang berkaitan pencegahan wabak Covid-19 pada persidangan parlimen yang dijadualkan pada Julai depan.

"Memandangkan kesan yang dialami oleh rakyat perseorangan, peniaga dan juga syarikat-syarikat ekoran penularan wabak Covid-19, kerajaan telah bersetuju mengemukakan beberapa Rang Undang-Undang yang berkaitan bagi dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang iaitu pada bulan Julai 2020," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS