Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH mahu Dewan Rakyat bersidang 2 minggu
Diterbitkan:  Apr 30, 2020 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Langkah kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi penuh mulai 29 April - tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan - sepatutnya membolehkan Dewan Rakyat bersidang sekurang-kurangnya dua minggu, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, Majlis Presiden PH berkata, beberapa pindaan juga perlu dilakukan pada peraturan mesyuarat bagi membolehkan parlimen bersidang lebih lama.

Antaranya kata mereka ialah mengenai sidang dalam talian dan penetapan jumlah anggota parlimen tanpa menjejaskan korum atau peratusan undian parti masing-masing.

"Masalah-masalah rakyat juga perlu perhatian khusus parlimen, termasuk isu kebajikan, pekerjaan, malah juga semak dan imbang perjalanan kerajaan bagi menjamin ketelusan pengurusan dan kebertanggungjawaban pihak eksekutif," kata kenyataan yang ditandatangani Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Setiausaha Dewan Rakyat pada 17 April lalu mengeluarkan notis kepada semua anggota parlimen mengenai sidang yang akan diadakan pada 18 Mei ini.

Bagaimanapun berbeza daripada biasa, sidang tersebut hanya berlangsung selama sehari. Ia juga hanya akan membincangkan rang undang-undang dan usul urusan kerajaan saja.

Tiada sesi pertanyaan lisan, pertanyaan bertulis, usul atau kamar khas akan diadakan. 

Ada gesaan pinda undang-undang

Ahli parlimen PH kemudian mendesak agar sidang tersebut diadakan lebih lama, termasuk menggunakan kaedah dalam talian.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, menganggap cadangan itu bersifat pramatang, sempit dan gagal memahami keutamaan yang dihadapi oleh kerajaan ketika ini.

Sebaliknya, kata setiausaha agung PAS itu, dalam konteks sidang pada 18 Mei ini, bagi kerajaan isu paling utama ialah keselamatan semua pihak yang terlibat dalam urusan persidangan. 

Seorang lagi menteri di Jabatan Perdana Menteri - yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi - Mustapa Mohamed pula berkata isu infrastruktur perlu diperbaiki terlebih dulu sebelum kaedah sidang secara maya diadakan. 

Menurut Majlis Presiden PH, dalam keadaan lengkuk wabak Covid-19 mulai landai dan semakin ramai pesakit pulih, kebenaran yang diberi kerajaan memang dialu-alukan namun perlu dilaksana dengan waspada dan berhati-hati.

"Kesan Covid-19 terhadap ekonomi negara amatlah besar apabila begitu banyak syarikat perniagaan kehilangan pendapatan dan ramai yang mungkin kehilangan pekerjaan.

"Majlis Peguam serta persatuan-persatuan perniagaan juga menggesa beberapa akta dipinda atau undang-undang baharu digubal bagi menangani masalah dan memastikan sektor ekonomi dapat berjalan dengan baik," kata mereka.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS