Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Enam negeri tak akan buka sektor ekonomi esok
Diterbitkan:  May 3, 2020 6:02 PM
Dikemaskini: 4:48 PM

Enam negeri tidak akan membuka semula sektor ekonomi esok dan akan meneruskan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Negeri-negeri berkenaan ialah Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Pulau Pinang akan meneruskan aktiviti perniagaan pada 8 Mei tetapi mengekalkan sekatan PKP lain, seperti menyekat sebarang aktiviti rekreasi sehingga 12 Mei.

Pahang, Kelantan dan Kedah akan membincangkan sama ada akan membuka semula sektor ekonomi minggu hadapan.

Kerajaan Johor pula dijangka hanya akan membuat pendirian apabila majlis keselamatan negara bermesyuarat esok.

Setakat ini, Terengganu adalah satu-satunya negeri yang telah mengumumkan akan membenarkan sektor ekonomi dibuka bermula Isnin.

Ketika berita ini ditulis, pendirian kerajaan Melaka masih tidak jelas.

Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali semalam berkata negeri itu akan membenarkan sektor ekonomi dibuka dengan berkongsi senarai aktiviti yang masih dilarang di halaman Facebooknya.

Kerajaan Perlis pula menjelaskan akan melaksanakan PKP Bersyarat dan akan mengkaji langkah itu semula dari semasa ke semasa.

Kerajaan negeri Selangor, Perak dan Negeri Sembilan membenarkan perniagaan dibuka bermula esok. 

Namun ketiga-tiga negeri itu tidak akan membenarkan pelanggan makan di restoran.

Negeri Sembilan dan Perak juga tidak membenarkan aktiviti riadah di taman rekreasi awam.

Di Selangor, orang awam dibenarkan untuk melakukan aktiviti senaman di kawasan lapang dan taman komuniti tetapi kegiatan di taman-taman awam tidak dibenarkan.

Pada 1 Mei, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa aktiviti ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan besar akan dibenarkan beroperasi semula esok.

Beliau menggelarkan peraturan baru itu sebagai "PKP Bersyarat", yang ditetapkan sehingga 12 Mei, namun tertakluk kepada perubahan selepas itu.

Muhyiddin berkata segala bentuk aktiviti ekonomi mesti mengamalkan garis panduan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, kerajaan-kerajaan negeri dibenarkan mengetatkan sekatan jika difikirkan perlu.

Sesetengah negeri seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan tidak mencatatkan kes baru Covid-19 selama lebih daripada dua minggu.

Menteri Kanan (kluster keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, wabak Covid-19 boleh berlarutan sehingga dua tahun dan rakyat Malaysia perlu menyesuaikan diri dan meneruskan kehidupan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS