Satu kluster jangkitan Covid-19 baru telah dikesan di Kuching, Sarawak yang melibatkan 37 kes positif setakat ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, siasatan mendedahkan bahawa kumpulan baru yang dinamakan 'Kluster Taman BDC' itu mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur pada akhir Februari.

"Ini melibatkan perhimpunan Sri Petaling, di mana kes indeks menghadiri perhimpunan itu dan seterusnya menjangkiti sebahagian besar keluarganya, jemaah masjid (di Kuching) dan rakan-rakannya.

"Setakat ini, rantai jangkitan dari kelompok ini telah mencapai hingga tiga generasi," katanya pada sidang media petang ini.

Wartawan diberitahu oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa kes indeks di Taman BDC diuji positif pada 8 Mac, sebelum lebih banyak kes kemudian dikesan di daerah tersebut dan menyebabkan penemuan kluster tersebut.

Perhimpunan tabligh Sri Petaling adalah kluster jangkitan Covid-19 terbesar di negara ini, dengan setakat ini mempunyai kaitan dengan 2,266 kes positif.

Sehingga kini, jumlah kes positif di negara ini adalah 6,353.

Pihak berkuasa menganggarkan bahawa perhimpunan yang berlangsung antara 28 Februari hingga 1 Mac itu disertai oleh sekitar 16,000 orang, termasuk 1,500 orang asing.

Dengan penemuan kluster baru ini, Sarawak setakat ini telah mencatatkan empat kluster besar.

Kluster lain adalah kluster perhimpunan Gereja Kuching, kluster pulang dari Itali, dan kluster petugas kesihatan.